Selalu Kena Marah, Dua Beradik Bertindak Bunuh Majikan

Comments · 321 Views

Berang gara-gara selalu dimarahi, dua beradik tekad membunuh majikan mereka sendiri dalam kejadian di sebuah rumah kedai di daerah Kebayoran Lama, Jakarta Selatan, lapor Tribun News.

Ketua Polis Kebayoran Lama Pesuruhjaya Widya Agustiono berkata mangsa yang merupakan pasangan suami isteri masing-masing berusia 25 dan 30 tahun itu meninggal dunia akibat ditusuk pisau daging dalam kejadian yang berlaku kira-kira 3.30 petang waktu Indonesia pada Isnin.

Widya berkata semasa pihaknya datang untuk melakukan penahanan, suspek bertindak untuk bersembunyi di sebuah rumah kedai yang bersebelahan tempat kejadian.

"Apabila hendak ditahan, mereka cuba melarikan diri. Kami menahannya di rumah kedai sebelah. 

“Tetapi selepas maklumat diterima daripada penduduk, kami segera bergabung dengan Pasukan Ketepatan Polis untuk kepong kawasan itu. Kemudian suspek telah ditemui dan kini ditahan,” katanya.

Difahamkan, siasatan awal mendapati punca pembunuhan adalah disebabkan mangsa yang juga majikan suspek (kedua-dua beradik) sering memarahi suspek ketika sedang bekerja.

Perkara itu membuatkan suspek berdendam dan sakit hati kerana selalu dimarahi hampir setiap hari.

Pun begitu, suspek juga mendakwa kata-kata yang keluar daripada mulut kedua-dua mangsa itu mengguris perasaan mereka hingga mendorong untuk melakukan perbuatan itu.

"Jadi kami minta maklumat awal, mereka dendam. Menurut suspek, mereka sering (bahkan) hampir setiap hari, dimarahi oleh mangsa.

“Suspek berkata perkataan yang keluar dari mulut suami isteri yang tinggal di rumah itu sangat memberi kesan kepada mereka,” ujarnya.

"(Mangsa) luka kerana tusukan benda tajam. Masih menunggu hasil bedah siasat," katanya.

Sebelum ini, di India seorang ibu tunggal meninggal dunia secara tragis apabila sari yang dipakainya tersangkut pada pintu gerabak kereta api hingga menyebabkannya diseret sejauh beberapa meter.

Ketua Pegawai Perhubungan Awam Delhi Metro Rail Corporation (DMRC), Anuj Dayal berkata kejadian ngeri itu berlaku di stesen Metro Inderlok pada Khamis lepas.

Sumber: Tribun News

Comments