Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, ekoran itu polis membuka siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengaibkan kehormatan seseorang.
“Cikgu Fadilah tidak berpuas hati apabila mendapati video seks dirinya tersebar selain polis turut membuka siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM).
“Bagaimanapun, kita belum dapat menjejaki video seks berkenaan kerana dipercayai telah dipadam dari telefon bimbit berkenaan,” katanya ringkas ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.
Semalam, juruelektrik yang dikenali ‘Abang Wiring’ atau nama sebenarnya Muhammad Hairul Ezuan Hamzah, 31 dan
guru sekolah menengah di Melaka Nur Fadilah Zainal, 31, mengaku bersalah atas pertuduhan cubaan melakukan persetubuhan haram di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka.

Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin menjatuhkan hukuman masing-masing didenda RM5,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar denda di bawah Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 yang memperuntukkan kesalahan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara maksimum 36 bulan atau kedua-duanya sekali.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Hairul Ezuan dan Nur Fadilah didapati telah melakukan perbuatan percubaan persetubuhan haram dengan yang bukan isteri atau suaminya yang sah di sisi syarak.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Bukit Emas, Sungai Petai dalam daerah Alor Gajah, di sini, kira-kira jam 9 malam 28 Februari lalu.
Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka, Atras Mohamad Zin dibantu pendakwa syarie Radzwan Abdullah.
Pendakwaan dibuat dibuat di bawah Seksyen 52 kerana tidak ada satu enakmen yang khusus berkaitan dengan kesalahan persetubuhan luar nikah ataupun berzina antara seorang yang bukan suami isteri walaupun kedua-dua tertuduh mengakui melakukan kesalahan itu.
Justeru, dakwaan yang paling dekat yang boleh dikenakan adalah di bawah Seksyen 52 iaitu percubaan melakukannya dan kedua-dua tertuduh yang sudah berkahwin masing-masing mempunyai anak.