Anggota tentera hilang di Pulau Pandanan

コメント · 405 ビュー

SEMPORNA: Seorang anggota tentera dilaporkan hilang selepas tidak ditemui di pos penempatan Pulau Pandanan di sini sejak pagi Jumaat lalu.

Anggota yang berusia 21 tahun itu bertugas di Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD), Kem Ulu Tiram, Johor.

Menurut kenyataan dimuat naik di laman Facebook rasmi Polis Daerah Semporna pada Isnin, kehilangan mangsa disedari kira-kira jam 7 pagi pada 14 Mac lalu ketika pemeriksaan barisan pagi di pos penempatan berkenaan.

Pegawai renjer tentera, Mohd Azhar Sainuddin memaklumkan bahawa anggotanya itu tidak berada di pos penempatan Pulau Pandanan semasa pemeriksaan dilakukan.

“Susulan itu, usaha pencarian segera dijalankan oleh anggota tentera di sekitar kawasan pos penempatan terbabit, namun mangsa masih gagal ditemui,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan mangsa diminta tampil membantu siasatan.

“Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohammad Ali Amat di talian 013-2120852 atau hadir ke balai polis berhampiran.

“Kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi membantu mengesan mangsa,” katanya.

コメント