Maritim gagalkan cubaan seludup minuman keras dan rokok dari negara jiran

Comments · 471 Views

Lahad Datu : Cubaan menyeludup masuk minuman keras dan rokok dari negara jiran berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia hari ini.

Dalam kejadian jam 4.50 pagi itu, Maritim Malaysia mengesan sebuah bot enjin sangkut tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan di 0.5 batu nautika di kawasan Barat Daya rumah api Tanjung Labian di sini.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia, bot suspek telah memecut laju ke arah daratan yang berdekatan namun berjaya ditahan oleh pihak Maritim Malaysia.

Walau bagaimanapun katanya, dua suspek berjaya terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan daratan berhampiran.

Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan telah membawa sejumlah 24 botol dan dua tin minuman keras pelbagai jenama, 70 kotak rokok dipercayai cuba diseludup masuk dari Filipina.

Kesemua minuman keras, rokok, bot dan sebuah enjin sangkut yang dianggarkan berjumlah RM20,000 dirampas untuk tindakan siasatan di bawah Akta Kastam 1967, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Rizam berkata, Zon Maritim Lahad Datu memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di kawasan Lahad Datu agar terus memberi kerjasama dengan melaporkan kepada pihak agensi ini sekira terdapat sebarang maklumat berkaitan salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut ke talian 089-885727 (Pusat Operasi Lahad Datu) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam. SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

Comments