Dua lagi pesawat pemindahan terakhir dari ‘kapal hantavirus’ mendarat di Belanda

Commenti · 522 Visualizzazioni

EINDHOVEN: Dua pesawat pemindahan terakhir yang membawa penumpang dan anak kapal dari kapal MV Hondius yang dilanda wabak hantavirus mendarat di Belanda hari ini, menurut seorang wartawan AFP.

Dalam kedua-dua pesawat tersebut terdapat 28 orang yang dipindahkan dari kapal berkenaan, menurut kementerian luar Belanda, termasuk penumpang, anak kapal, dan kakitangan perubatan.

Pesawat pertama yang mendarat membawa enam bekas penumpang  Hondius, empat dari Australia, seorang dari New Zealand, dan seorang warga Britain yang menetap di Australia.

Enam individu ini dijangka akan tinggal di kemudahan kuarantin berhampiran lapangan terbang sebelum dihantar pulang ke Australia.

Sambil memakai pakaian perubatan putih dan pelitup muka, mereka kelihatan turun dari ambulans udara tersebut dengan memegang beg putih berisi barangan peribadi mereka, lalu berjalan masuk ke dalam terminal.

Pesawat yang satu lagi membawa 19 anak kapal, seorang doktor Britain dan dua pakar epidemiologi (seorang dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan seorang dari Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah).

Anak-anak  kapal ini turun tanpa peralatan perubatan tetapi masih memakai pelitup muka, serta turut membawa guni putih besar yang berisi barangan mereka.

Kapal Hondius kini sedang dalam perjalanan dari Tenerife ke Rotterdam di Belanda, di mana ia akan berlabuh untuk proses pembasmian kuman.

Masih berada di atas kapal itu adalah 25 anak kapal dan dua kakitangan perubatan, kata pengendali Oceanwide Expeditions  kelmarin.

Kapal itu juga membawa mayat seorang penumpang warga Jerman yang meninggal dunia semasa dalam pelayaran.

Commenti