Sabah Electricity ambil pendekatan berhemah tangani isu peningkatan bil elektrik

نظرات · 537 بازدیدها

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn.Bhd. (Sabah Electricity) terus mengambil pendekatan berhemah terutama dalam menangani isu yang dibangkitkan pengguna berhubung peningkatan bil elektrik kebelakangan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Datuk Mohd Yaakob Jaafar berkata,  Sabah Electricity sentiasa memahami kebimbangan dan sentimen pengguna berhubung isu berkenaan yang banyak tular di media sosial.

Katanya, peningkatan bil elektrik kebelakangan ini banyak dipengaruhi oleh faktor penggunaan semasa, khususnya ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri dan juga cuaca panas.

Selain itu jelasnya, penggunaan peralatan elektrik berkuasa tinggi secara berterusan seperti pendingin hawa, pemanas air dan peti sejuk tambahan.

Sehubungan itu pihaknya menyarankan para pengguna supaya memantau penggunaan elektrik secara berkala dan mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah bagi mengawal jumlah bil bulanan.
 
"Pengguna juga digalakkan untuk menggunakan aplikasi mySE+ bagi menyemak bil, merekod penggunaan serta mendapatkan maklumat berkaitan akaun elektrik dengan lebih mudah dan pantas.

"Sabah Electricity sentiasa mengutamakan pendekatan berhemah, telus dan bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan pengguna terus dipelihara.

"Di samping itu, langkah ini juga bagi menjamin kelestarian sistem bekalan elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan," katanya pada sesi taklimat kepada media di sini hari ini.

Beliau berkata, selain isu peningkatan bil, isu-isu lain yang tular di media sosial termasuk isu cagaran tambahan, tunggakan bil serta tindakan penguatkuasaan berkaitan Kes Usikan Pepasangan Meter (KUPM).

Mohd Yaakob berkata, hasil kutipan bayaran bil adalah penting untuk memastikan operasi sistem bekalan elektrik dapat diteruskan secara mampan.

Katanya, ia termasuk kerja-kerja penyelenggaraan, penambahbaikan infrastruktur dan kestabilan bekalan elektrik kepada rakyat.

Justeru pihaknya menasihatkan para pengguna supaya sentiasa membuat semakan terhadap bil elektrik dan memastikan pembayaran dibuat mengikut tempoh ditetapkan bagi mengelak tunggakan dibawa ke bil seterusnya. 

"Tunggakan yang tidak dijelaskan boleh menyebabkan jumlah keseluruhan bil meningkat dan memberi kesan kepada pengurusan pembayaran pengguna," katanya.

Menurutnya, bermula Februari tahun ini melalui sesi libat urus yang dijalankan, maklumat mengenai peningkatan ketara bil elektrik berikutan kenaikan tarif elektrik secara purata 15 peratus sentiasa diwar-warkan.

Pihaknya prihatin dengan kegusaran pengguna terutama apabila melihat jumlah bil yang meningkat.

Sehubungan itu katanya, sebagai syarikat utiliti, adalah penting untuk pihaknya menangani dan memberi maklum balas terhadap setiap aduan yang dikemukakan pengguna.

berita terdahulu : https://omiyou.com/read-blog/689_penduduk-sabah-rayu-kerajaan-agar-sesb-kaji-kenaikan-mendadak-bil-elektrik.html

نظرات