Alesha Lenson rangkul anugerah Best Designer

コメント · 310 ビュー

RANAU: Pereka fesyen dan pengasas Akademi Jahitan Kota Kinabalu (AJKK), Alesha Lenson bersyukur selepas merangkul anugerah Best Designer sempena Pertandingan Garung Olumis, Pertandingan Akhir Sugandoi Kaamatan Terbuka dan Cultural Fashion Night (RTK) Peringkat Daerah Ranau 2026.

Alesha berkata, kemenangan itu bukan hasil usahanya sendiri sebaliknya lahir daripada kerjasama dan sokongan insan di belakang perjalanan rekaan berkenaan.

“Alhamdulillah dengan penuh rasa syukur dan rendah hati, saya amat berterima kasih atas penghargaan yang diberikan melalui kemenangan ini.

“Kejayaan ini bukan usaha saya seorang, tetapi hasil kerjasama dan sokongan insan hebat di belakang perjalanan rekaan ini, khususnya buat dua orang guru Erna Suriayati Mattusin dan Hanisa Baru yang banyak membantu dalam proses menyiapkan pakaian sehingga berjaya dipersembahkan ke pentas pertandingan,” katanya.

Menurutnya, rekaan yang dihasilkan mengetengahkan identiti etnik Tinagas Ranau melalui gabungan elemen tradisi dan kontemporari yang diinspirasikan daripada dunia perhotelan moden.

“Pendekatan itu dihasilkan bukan sahaja untuk menampilkan keunikan budaya tempatan dalam gaya lebih eksklusif dan elegan, malah membuka potensi pasaran fesyen budaya ke peringkat dalam dan luar negara.

“Saya percaya warisan etnik bukan sekadar budaya yang dipelihara, tetapi juga mampu menjadi identiti kreatif yang dibanggakan serta mempunyai nilai komersial tinggi jika diketengahkan dengan cara moden dan relevan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan juri atas kepercayaan memilih rekaannya sebagai penerima anugerah Best Designer.

Katanya, pengiktirafan itu menjadi pembakar semangat untuk terus berkarya dalam mengangkat martabat warisan budaya etnik di Sabah agar terus dikenali, dihargai dan mampu berdiri seiring dalam industri fesyen moden sama ada di dalam mahupun luar negara.

コメント