‘Raja dadah’ ditahan di Laos rupa-rupanya orang Parit Buntar

Comments · 778 Views

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang mendalangi sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah di kawasan Segi Tiga Emas (Golden Triangle) hingga digelar Raja Dadah dan diberkas di Laos, pada 29 Disember lalu, berada dalam senarai dikehendaki Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2018.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din, berkata penahanan suspek berusia 39 tahun yang berasal dari Parit Buntar, Perak, itu dilakukan hasil pertukaran maklumat risikan antara JSJN Bukit Aman, Biro Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) dan Biro Pembanterasan Narkotik (PNSB) Thailand.

"Suspek yang turut mempunyai rangkaian pengedaran dadah di Thailand disenarai hitam selepas disyaki menjadi dalang utama sindiket pengedaran dadah di kawasan Segi Tiga Emas, membabitkan tiga negara iaitu Myanmar, Laos dan Thailand sejak 2006.

"Tindakan menyenarai hitam dilakukan selepas pihak berkuasa Thailand menahan tujuh rakyat mereka dengan rampasan 998 kilogram (kg) kristal dadah jenis methamphetamine di wilayah Ratchaburi pada Jun tahun lalu.

"Penahanannya juga bermula dari perkongsian maklumat di antara Malaysia dan negara yang terbabit dalam serbuan penangkapannya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan seorang rakyat Malaysia yang dikehendaki di Thailand ditahan di Laos, ketika sedang bersembunyi di negara berkenaan kerana terbabit dalam aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah.

Pihak berkuasa Thailand melaporkan suspek menggunakan negara itu sebagai lokasi aktiviti pengubahan wang haram dan sebagai tempat transit untuk kegiatan penyeludupan dadah ke Malaysia, Taiwan dan Australia.

Susulan penahanan suspek, pihak berkuasa Thailand merampas aset miliknya seperti sebidang tanah berserta bangunan, dua unit kondominium, tiga kapal layar, dua kereta, tiga buah motosikal, senjata api, wang tunai dan barang berharga lain di Bangkok, Trat, Chiang Rai dan Chon Buri.

Jumlah anggaran sitaan aset yang dirampas bernilai 85 juta bath (RM11 juta).

 

Comments