Mayat lelaki ditemui terapung di perairan Pulau Gaya

Kommentarer · 371 Visninger

KOTA KINABALU: Mayat seorang lelaki ditemukan terapung di perairan Kampung Lobong, Pulau Gaya, di sini, pagi tadi.

Penemuan kira-kira jam 10 pagi itu dimaklumkan orang awam sebelum pihak polis bergegas ke lokasi untuk tindakan lanjut.

Mangsa ditemukan dalam keadaan terapung dan lengkap berpakaian.

Mayat kemudian dibawa ke jeti sebuah sekolah berhampiran sebelum dipindahkan menggunakan bot ke Jeti Taman-Taman Sabah (TTS).

Sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu turut berada di lokasi bagi mengawal keadaan.

Turut hadir Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah untuk menjalankan pemeriksaan awal.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, identiti mangsa masih belum dikenal pasti setakat ini.

“Siasatan awal masih dijalankan bagi mengenal pasti latar belakang mangsa serta punca kejadian.

“Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan.

“Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan (ASP) La Paula Abdul Muis di talian 011-64115848 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Dalam masa sama, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya.

Menurutnya, perkembangan lanjut kes akan dimaklumkan dari semasa ke semasa selepas laporan bedah siasat diperoleh.

Kommentarer