Seorang Pekerja cuci kereta maut dibunuh rakan sekerja

Comments · 769 Views

KENINGAU: Seorang pekerja tukang cuci kenderaan maut dipercayai dibunuh oleh rakan sekerjanya dalam kejadian di sebuah premis cuci kereta di Jalan Apin Apin di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, pada jam 2.50 petang (24 Dis) pengadu yang juga Pegawai Parol Daerah Keningau telah menerima panggilan telefon daripada majikan premis cuci kereta tersebut memaklumkan pekerjanya seorang lelaki Orang Bebas Berlesen (OBB) dibawa seliaan Pejabat Parol Keningau yang bekerja di sana telah tidak sedarkan diri disyaki terjatuh ketika dalam perjalanan ke Hospital Keningau.

“Pada hari yang sama jam lebih kurang 11.08 pagi, mangsa yang berumur 52 tahun itu telah dimaklumkan oleh Unit Kecemasan Hospital Keningau bahawa mangsa telah disahkan meninggal dunia serta disahkan Positif Covid-19.

“seterusnya mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak Unit Forensik Hospital Keningau untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yampil berkata, siasatan awal mendapati bahawa kes ini merupakan kes Mati Mengejut (SDR) menurut laporan awal mangsa terjatuh dimaklumkan oleh suspek yang juga rakan sekerjanya bertujuan hendak menyembunyikan fakta sebenar kejadian.

“Namun terdapat dua orang saksi mata utama yang menyaksikan secara langsung kejadian itu iaitu seorang pekerja dan anak kandung majikan masing-masing lelaki berusia 26 dan 15 tahun.

“Punca kejadian suspek seorang lelaki yang berumur 30 tahun itu merasa tidak puas hati dengan mangsa kerana malas bekerja dan sering bertengkar mulut,” katanya.

Menurut Yampil lagi, mangsa dan suspek merupakan OBB yang masih menjalani hukuman penjara dan juga rakan sekerja serta tinggal di tempat yang sama milik majikan mereka sejak empat bulan yang lepas dengan gaji RM600 sebulan.

Berikutan dengan kes itu, Yampil berkata, rakaman percakapan Doktor Perubatan di Unit Forensik memaklumkan bahawa terdapat kesan lebam pada bahagian belakang kepala mangsa yang belum dapat dipastikan puncanya manakala hasil CT Scan mendapati terdapat kesan retak pada tengkorak yang mungkin menyebabkan pendarahan dalaman otak.

“Tangkapan dan rampasan barang kes (dipandu arah oleh suspek) telah berjaya dijalankan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Keningau sebaik sahaja laporan polis dirujuk kepada BSJ Keningau.

“Suspek mempunyai rekod tiga kes jenayah lampau iaitu Seksyen 379KK, 380KK, 414KK dan dua kes narkotik.

“Kes diklasifikasikan dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

Comments