Tiga beranak melecur dapur rumah terbakar

Comentarios · 492 Puntos de vista

KENINGAU: Tiga sekeluarga termasuk kanak-kanak perempuan berusia empat tahun melecur selepas kebakaran memusnahkan hampir separuh dapur rumah mereka di Taman Adika 7B, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu, kebakaran membabitkan rumah jenis kekal berkeluasan 93 meter persegi dengan anggaran kemusnahan 45 peratus di bahagian dapur.

Mangsa terlibat ialah David Adam, 36, isterinya Evonith Paguia Ehip, 26, serta anak perempuan mereka, Galilee Georgia David Adam, 4.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum menggerakkan 10 anggota bersama jentera ke lokasi kejadian.

“Lelaki berusia 36 tahun itu sudah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Isteri dan anak mangsa pula diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan dua pancutan air daripada jentera bomba.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.39 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.20 petang selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi,” katanya.

Comentarios