Aktivis Masyarakat, Jaesman Gipin berkata, pengambilalihan fungsi pintu masuk sempadan Sabah oleh AKPS berisiko menjejaskan hak dan menjejaskan kuasa autonomi Imigresen Sabah.
Menurutnya, ia turut menjejaskan kuasa Pihak Berkuasa Negeri seperti yang dilindungi oleh Perenggan 16 Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perkara 161E(4) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 64 serta Seksyen 65, Bahagian VII Akta Imigresen 1959/63.
"Isu ini bukan kecil, ini soal kedaulatan negeri. Justeru, kerajaan negeri wajib mempertahankan kawalan pintu masuk sedia ada dan menolak sebarang usaha meletakkannya di bawah AKPS," katanya dalam kenyataan.
Jaesman yang juga bekas pegawai imigresen berkata, kuasa autonomi Imigresen Sabah merupakan mandat 1963 dan bukan keistimewaan, sebaliknya hak itu dijamin undang-undang.
Jaesman berkata, berdasarkan Perenggan 16, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962, ia jelas merekodkan persetujuan bahawa Kawalan imigresen ke Sabah dan Sarawak hendaklah kekal di bawah kuasa negeri.
"Tujuannya untuk lindungi Sabah daripada kemasukan beramai-ramai dari Tanah Melayu yang boleh ubah komposisi penduduk dan beban ekonomi negeri.
"Ini janji bertulis sebelum Malaysia wujud. Inilah sebab utama Sabah setuju masuk Persekutuan. Menyerah kawalan kepada AKPS samalah dengan mengkhianati semangat IGC," katanya.
Jaesman berkata, perkara seterusnya yang diambil perhatian ialah Perkara 161E(4), Perlembagaan Persekutuan.
“Tiada pindaan kepada Perlembagaan yang menyentuh kuasa imigresen Sabah dan Sarawak boleh dibuat tanpa persetujuan Yang Dipertua Negeri Sabah dan Sarawak," katanya.