Syabu disorok dalam lampin bayi, dua lelaki ditahan polis

Yorumlar · 325 Görüntüler

SEMPORNA: Taktik dua lelaki tempatan menyembunyikan dadah dalam lampin pakai buang terbongkar apabila mereka ditahan polis dalam operasi di Jalan Causeway, Bandar Baru Seafront, di sini, semalam.

Kedua-dua suspek berusia tempatan itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna ketika dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kenderaan.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah berkata, kedua-dua lelaki terbabit cuba melarikan diri sebaik pemeriksaan dijalankan, namun berjaya diberkas di lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan itu, polis menemui dua paket plastik lutsinar bersaiz besar mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 100.20 gram dengan anggaran nilai RM10,000.

“Dadah itu disembunyikan dalam lampin pakai buang jenama Huggies yang diletakkan dalam beg kertas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Pejabat Narkotik Daerah Semporna untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, beliau menegaskan pihak polis akan terus mempergiat operasi bagi membanteras aktiviti pengedaran dadah di daerah ini.

“Orang ramai dinasihatkan menjauhi dadah kerana ia bukan sahaja merosakkan masa depan individu, malah memberi kesan besar kepada keluarga dan masyarakat.

“Kita juga mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat bagi membantu usaha membanteras dadah,” katanya.

Yorumlar