Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal berkata, bantuan itu diberikan bagi memastikan lebih ramai kanak-kanak autisme mendapat akses kepada penjagaan dan intervensi awal yang sewajarnya.
Katanya, secara purata yuran pusat autisme mencecah lebih RM600 sebulan, namun dengan subsidi berkenaan, ibu bapa hanya perlu membayar kira-kira RM300.
“Kerajaan negeri komited membantu ibu bapa yang mempunyai anak autisme dengan menyediakan subsidi ini supaya mereka tidak terbeban dengan kos rawatan.
“Ia juga bagi memastikan anak-anak ini mendapat peluang terbaik untuk menjalani terapi dan pendidikan yang sesuai,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan berkata demikian ketika ditemui pada Program Sambutan Hari Autisme Sedunia Peringkat Hospital Tawau, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rina berkata kesedaran masyarakat mengenai autisme masih perlu dipertingkatkan, khususnya dalam kalangan ibu bapa yang masih kurang pendedahan atau berada dalam fasa penafian terhadap keadaan anak mereka.
“Ketika ini kita melihat peningkatan kes autisme dalam kalangan kanak-kanak. Ada ibu bapa yang sudah mempunyai pengetahuan, namun masih ramai yang kurang akses kepada maklumat dan tidak menyedari keadaan sebenar anak mereka,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sabah sedang memperluaskan inisiatif termasuk penubuhan Pusat Autisme Sabah yang dijangka dirasmikan pada Mei ini sebagai projek perintis.
Menurutnya, di Tawau sendiri, sebuah pusat autisme yang beroperasi di Sri Stella, Air Panas kini menempatkan lebih 30 kanak-kanak dan dijangka menerima pertambahan pelajar dari semasa ke semasa.
“Penubuhan pusat ini adalah antara langkah awal kerajaan dalam membina model penjagaan menyeluruh untuk kanak-kanak autisme, daripada peringkat awal hingga ke fasa seterusnya.
“Kita melihat permintaan terhadap perkhidmatan ini semakin meningkat, sekali gus menunjukkan keperluan yang mendesak dalam kalangan masyarakat,” katanya.