MCMC pulihkan 14 menara komunikasi akibat kegiatan vandalisme

Comments ยท 738 Views

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan sebanyak 14 menara komunikasi yang terjejas akibat aktiviti vandalisme di Bukit Pilah, Negeri Sembilan telah berjaya dipulihkan sepenuhnya.

MCMC dalam kenyataan pada Selasa berkata, pihaknya menerima laporan daripada CelcomDigi Berhad pada Sabtu berhubung gangguan perkhidmatan 2G dan 4G di sekitar Kuala Pilah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati gangguan tersebut berpunca daripada kegiatan vandalisme dan kecurian ke atas sebuah menara komunikasi milik syarikat berkenaan di Bukit Pilah.

“Perbuatan tidak bertanggungjawab itu turut menjejaskan 13 menara komunikasi lain serta memberi kesan kepada kira-kira 1,668 pengguna daripada pelbagai syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi di kawasan Kuala Pilah,” katanya.

Susulan itu, MCMC bersama pihak CelcomDigi telah mengadakan lawatan ke lokasi terjejas dan mendapati beberapa peralatan penting komunikasi, termasuk Radio Transport System (RTS) dan Baseband Unit (BBU), telah dicuri.

Katanya, kejadian tersebut bukan sahaja menjejaskan perkhidmatan di kawasan berhampiran, malah turut memberi impak kepada operasi menara komunikasi lain.

“Pihak CelcomDigi telah melaksanakan kerja pemulihan secara berperingkat dengan mengaktifkan semula menara komunikasi yang terjejas.

“Kesemua 14 menara kini telah kembali beroperasi dan mula menyediakan perkhidmatan kepada pengguna,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, orang ramai diseru agar memainkan peranan dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan di sekitar menara komunikasi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau pihak berkuasa berkaitan.

MCMC berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang menjejaskan infrastruktur komunikasi negara.

“Perbuatan vandalisme terhadap kemudahan telekomunikasi merupakan kesalahan serius di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Comments