Program Khidmat Budi ECoS bantu pusat OKU dan PAUS

التعليقات · 316 الآراء

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) melaksanakan Program Khidmat Budi dengan mengunjungi Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sembulan serta Pusat Autism Sabah (PAUS) sebagai sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Dalam program itu, ECoS menyampaikan sumbangan berupa peralatan keperluan harian bagi menyokong operasi pusat selain memudahkan aktiviti kanak-kanak di kedua-dua institusi berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid, berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan agensi berkenaan dalam menyumbang kepada kesejahteraan komuniti, khususnya golongan yang memerlukan perhatian dan sokongan berterusan.

“ECoS bukan sahaja berperanan memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan bekalan tenaga di Sabah, malah komited menyumbang kembali kepada masyarakat. 

“Kami berharap sumbangan ini dapat memberi keselesaan serta membantu tenaga pengajar menjalankan sesi pembelajaran dan penjagaan dengan lebih efektif,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada sambutan Hari Raya bersama kanak-kanak dan pendidik di Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sembulan.

Turut hadir, Anggota Suruhanjaya ECoS, Datuk Alijus Sipil yang menyertai program itu sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif kebajikan dan komuniti.

Sementara itu, Penguasa Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sembulan, Mary Sipaji, menzahirkan penghargaan atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh pihak ECoS.

“Sumbangan ini amat bermakna dalam membantu kami menyediakan persekitaran lebih selesa dan kondusif untuk kanak-kanak serta pendidik di sini. 

“Kami juga merakamkan penghargaan kepada ECoS atas sokongan terhadap keperluan khas kanak-kanak OKU serta usaha meningkatkan kesedaran mengenai autisme.

“Kami berharap lebih banyak pihak tampil ke hadapan untuk bersama-sama menyokong usaha seperti ini,” katanya.

Program Khidmat Budi ECoS menjadi antara usaha berterusan agensi itu dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat selain menyemai nilai keprihatinan sosial dalam kalangan warga kerja.

التعليقات