Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, pendekatan mengekalkan subsidi bahan api secara menyeluruh bukan lagi pilihan mampan memandangkan keupayaan kewangan kerajaan mempunyai had tertentu.
"Jika krisis ekonomi global berpanjangan dan perang Iran dan Amerika/Israel semakin tegang, maka tidak hairan harga petroleum Sabah, Sarawak dan Semenanjung akan diseragamkan.
"Kenaikan harga minyak dunia sudah tentu akan mendorong peningkatan harga barangan keperluan harian terutama barangan import," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Kesyukuran Pilihan Raya Umum Sabah ke-17 lalu dan Majlis Aidilfitri di Kampung Kuala Keramuak di sini, kelmarin.
Pengerusi Kumpulan SEDCO itu berkata, subsidi bahan api bagi penduduk Wilayah Borneo akan dibekukan jika keadaan kewangan kerajaan semakin terhad.
Beliau mengingatkan masyarakat di Sabah supaya bersiap sedia dengan peningkatan kos sara hidup akibat ketidaktentuan ekonomi global, kerana situasi itu tidak dapat dielakan.
Katanya, semua lapisan masyarakat khususnya di Sabah harus mengubah gaya hidup berhemah dan mengamalkan sikap berbelanja berjimat-cermat.
Masiung menegaskan, anggaran semasa menunjukan subsidi petrol dan diesel di seluruh negara mencacah sekitar RM6 bilion sebulan berbanding RM700 juta sebelum konflik tenaga global.
Jelasnya, kos subsidi Sabah, Sarawak sahaja adalah RM383 juta sebulan.