E-dagang bersedia hadapi kesan konflik, impak WFH timbulkan kebimbangan ekonomi lebih luas

코멘트 · 408 견해

KOTA KINABALU: Malaysia Digital Chamber of Commerce (MDCC) Cawangan Sabah memberi amaran ketegangan geopolitik melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel mula mengganggu sektor e-dagang, manakala kesan limpahan dasar bekerja dari rumah (WFH) berpotensi menekan ekonomi negara secara kesel

Penasihat MDCC Sabah, Tony Hsing berkata konflik berterusan memberi tekanan kepada rangkaian logistik global serta mendorong kenaikan harga tenaga, sekali gus mencetuskan kesan berantai terhadap ekosistem perdagangan digital negara.

“Gangguan laluan perkapalan utama dan peningkatan kos bahan api menyumbang kepada tempoh penghantaran lebih panjang serta kos operasi meningkat, khususnya bagi perniagaan bergantung kepada barangan import.

“Ini satu amaran penting kepada perniagaan e-dagang. Era bergantung kepada satu sumber bekalan sahaja tidak lagi mampan.

“Syarikat perlu beralih kepada pendekatan lebih berdaya tahan dengan mempelbagaikan rantaian bekalan, memperkukuh perancangan inventori serta mengguna pakai teknologi pintar bagi mengurus ketidaktentuan,” katanya.

Hsing berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka paling terjejas berikutan pendedahan tinggi terhadap tekanan kos dan ketidaktentuan bekalan.

Beliau menggesa perniagaan supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada model inventori “just-in-time”, sebaliknya mengamalkan pengurusan stok lebih strategik termasuk mendapatkan sumber alternatif dalam ASEAN dan pasaran lebih stabil.

“Walaupun berdepan cabaran jangka pendek, Malaysia masih berada pada kedudukan baik untuk meraih manfaat daripada penstrukturan semula rantaian bekalan global.

“Malaysia, termasuk Sabah, berpotensi muncul sebagai hab serantau bagi e-dagang dan logistik memandangkan kedudukan strategik serta ekosistem digital yang semakin berkembang,” katanya.

Dalam perkembangan diplomatik, Hsing menyuarakan keyakinan berhati-hati terhadap rundingan damai antara Amerika Syarikat dan Iran yang dijangka berlangsung di Pakistan.

“Kami berharap rundingan ini mencapai hasil positif. Pengurangan ketegangan akan membantu memulihkan keyakinan perdagangan global serta menstabilkan harga tenaga dan rangkaian logistik secara berperingkat,” katanya.

“Rantaian bekalan global dianggarkan memerlukan tempoh antara tiga hingga enam bulan untuk kembali stabil apabila laluan perkapalan dan kitaran inventori kembali normal,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Emeritus Malaysia Chamber of Commerce, Dr Chris Daniel Wong menegaskan tindak balas dasar domestik khususnya pelaksanaan meluas WFH boleh menambah tekanan ekonomi.

Chris mengulangi cadangan supaya moratorium pinjaman bersasar selama enam hingga 12 bulan diberikan kepada perniagaan yang mengalami penurunan jualan akibat pengurangan aktiviti ekonomi bandar.

“Walaupun pelaksanaan WFH secara besar-besaran boleh menjimatkan subsidi bahan api sekitar RM169 juta sebulan, kesan ekonomi keseluruhan mungkin jauh lebih besar,” katanya.

Beliau berkata pengurangan perbelanjaan bandar khususnya di Lembah Klang boleh menyebabkan kerugian bulanan antara RM320 juta hingga RM495 juta, kira-kira 2.9 kali ganda lebih tinggi daripada penjimatan diunjurkan.

“Dengan mengambil kira kesan pengganda antara 0.75 hingga 1, jumlah penguncupan ekonomi boleh meningkat kepada antara RM480 juta hingga RM1 bilion sebulan, sekali gus menghapuskan sebarang keuntungan fiskal,” katanya.

Chris menganggarkan sektor makanan dan minuman berpotensi mengalami kerugian bulanan antara RM100 juta hingga RM180 juta, manakala sektor runcit mungkin menyaksikan penurunan antara RM75 juta hingga RM125 juta.

“Stesen minyak dijangka antara paling terjejas dengan kerugian antara RM150 juta hingga RM250 juta sebulan, diikuti perkhidmatan pengangkutan awam dan e-hailing yang berdepan kerugian antara RM60 juta hingga RM90 juta.

“Hasil parkir dan tol pula berpotensi menurun antara RM25 juta hingga RM40 juta sebulan.

“Stesen minyak amat terdedah berikutan model perniagaan berasaskan margin rendah dan volum tinggi, ditambah kos operasi tetap seperti tenaga kerja, utiliti, sewaan dan pematuhan peraturan,” katanya.

Inisiatif WFH yang dijadual bermula 15 April bagi kakitangan kementerian, agensi, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan dilaksanakan ketika kos bahan api meningkat susulan gangguan rantaian bekalan global berpunca daripada konflik di Timur Tengah.

Walaupun berdepan cabaran, Hsing dan Chris menegaskan keadaan semasa turut membuka ruang kepada penyesuaian struktur dan pengukuhan daya tahan jangka panjang.

Hsing berkata, perniagaan yang menyesuaikan diri lebih awal bukan sahaja mampu bertahan, malah berada pada kedudukan lebih kukuh untuk menerajui ekonomi global yang sedang berubah.

Chris pula menyatakan situasi semasa bukan sekadar tempoh penyesuaian, sebaliknya titik perubahan strategik yang mampu memperkukuh kedudukan Malaysia dalam landskap ekonomi serantau dan global.

코멘트