Wanita maut kereta dipandu terbabas

Kommentare · 411 Ansichten

TAWAU: Seorang wanita berusia 25 tahun maut selepas kereta jenis kompak dipandunya terbabas sendiri dalam kejadian di Bandar Sri Indah, di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.26 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari BBP Tawau digerakkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 12.45 tengah hari selepas menempuh jarak kira-kira 17 kilometer.

“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke tepi jalan.

“Seorang mangsa wanita sudah dikeluarkan lebih awal oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya.

Katanya, pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi melibatkan enam anggota BBP Tawau dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

“Pasukan bomba menjalankan pemantauan di kawasan kejadian bagi memastikan tiada risiko bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.22 petang,” katanya.

Kommentare