lebih 936 video lucah, 4,035 gambar pornografi ditemui dalam telefon bimbit pelajar lelaki

Comments ยท 413 Views

BAU: Sebanyak 936 video lucah dan 4,035 gambar pornografi ditemui dalam telefon bimbit seorang pelajar lelaki yang ditahan dalam satu serbuan di Kampung Seromah, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau Superintenden Mohd Haide A. Rahman (gambar) berkata, suspek berusia 19 tahun ditahan dalam operasi Ops Cyber Guardian yang dijalankan sepasukan pegawai dari Bahagian D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak sekitar jam 6.10 petang.

Menurutnya, serbuan dilakukan hasil risikan berdasarkan maklumat diperoleh pihak polis sebelum ini.

“Hasil pemeriksaan terhadap peranti milik suspek mendapati terdapat sebanyak 936 video lucah dan 4,035 gambar pornografi disimpan dalam telefon bimbitnya.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengakses laman web lucah melibatkan kandungan dewasa dan kanak-kanak selain menjalankan aktiviti jual beli bahan tersebut melalui aplikasi Telegram serta mempromosikannya di platform media sosial,” kata menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, suspek turut mengaku menjadikan aktiviti tersebut sebagai sumber pendapatan.

Antara barangan yang dirampas daripada suspek termasuk tiga telefon bimbit, sebuah komputer riba serta kad sim bagi membantu siasatan lanjut.

“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 15 April bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 dan Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak serta Seksyen 292 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Tegasnya, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti melibatkan eksploitasi seksual terutama membabitkan kanak-kanak dan tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang terlibat.

Comments