PKK politeknik pertama tawarkan Program 'Certified Healthcare Facility Manager'

التعليقات · 515 الآراء

KOTA KINABALU: Politeknik Kota Kinabalu (PKK) menjadi politeknik pertama di Malaysia yang menawarkan Program 'Certified Healthcare Facility Manager' (CHFM) iaitu program profesional bertaraf antarabangsa.

Program berkenaan adalah satu inisiatif strategik hasil kolaborasi erat PKK bersama rakan industri, Sedafiat Sdn. Bhd sekali gus melakar sejarah sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) ketiga yang menawarkan program itu.

Pelancaran program kerjasama itu juga memperkukuh kedudukan PKK sebagai institusi peneraju dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Selain itu, PKK turut meraikan kejayaan pasukan penyelidik yang diketuai oleh Dr. Hasmawi Khalid menerusi penyerahan Sijil Tamat Geran Penyelidikan T-AIGS 2025 bagi produk inovasi Woodworking Adjustable Smart Stand (WASS). 

Timbalan Ketua Pengarah (Governan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Abdul Razak Sabtu berkata, seramai 35 peserta, yang terdiri daripada 20 kakitangan Sedafiat Sdn. Bhd. dan 15 kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menyertai program itu.

"Program ini mendapat kelulusan daripada 'International Advisory Council for Healthcare Facility Management' (IACHFM) bagi melahirkan pengurus fasiliti kesihatan yang kompeten serta bertaraf global," katanya ketika berucap merasmikan pelancaran program itu di sini pada Selasa.

Menurutnya, kejayaan pelancaran program CHFM dan inovasi WASS ini mencerminkan hala tuju kementerian untuk memperkasa TVET berimpak tinggi.

Beliau berkata, kerjasama erat antara IPT dan industri merupakan kunci utama dalam memastikan ekosistem TVET negara kekal relevan serta mampu berdaya saing di peringkat global.

 Penyampaian Sijil Tamat Geran Penyelidikan TVET Applied Innovation Grant Scheme (TAiGS) 2025 bagi produk Wood Working Adjustable Smart Stand (WASS) kepada Hasmawi bersama ahli kumpulan penyelidik.
KENANGAN: Penyampaian Sijil Tamat Geran Penyelidikan TVET Applied Innovation Grant Scheme (TAiGS) 2025 bagi produk Wood Working Adjustable Smart Stand (WASS) kepada Hasmawi bersama ahli kumpulan penyelidik.

Sementara itu, produk inovasi yang dihasilkan berjaya membuktikan kecemerlangannya apabila merangkul Anugerah Emas di peringkat antarabangsa sempena 'International Borneo Innovation Exhibition & Conference' (IBIEC 2024) serta mendapat pengiktirafan satu bintang oleh 'Centre of Technology' pada Ogos 2025.

Inovasi WASS menonjol dengan integrasi sistem Internet of Things (IoT) yang bertujuan meningkatkan tahap keselamatan dan produktiviti dalam kerja-kerja pertukangan kayu.

Keberkesanan produk ini telah pun dibuktikan melalui kolaborasi strategik bersama RTM Sabah dalam pembinaan set studio televisyen, selain berjaya didaftarkan paten secara rasmi melalui MyIPO bagi melindungi hak intelek inovasi berkenaan.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Sedafiat Sdn. Bhd. Datuk Ag. Buhtaman Ag. Mahmun; Presiden IACHFM Huszian Hussin; wakil Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Adam Lamau; serta barisan pengurusan tertinggi JPPKK, wakil-wakil industri dan rakan strategik yang lain. 

التعليقات