Lelaki didakwa rogol dua anak kandung sejak remaja

Reacties · 651 Uitzichten

LAHAD DATU: Seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas kesalahan merogol dua anak perempuannya sejak mereka masih di bawah umur.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau berkata, suspek ditahan pada 22 Mac lalu selepas kedua-dua mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Tawau kerana tidak tahan dengan perbuatan berkenaan.

Katanya, kedua-dua mangsa yang kini berusia 25 dan 22 tahun mendakwa sering diugut akan dipukul sekiranya enggan menurut kehendak suspek.

“Siasatan mendapati mangsa berusia 25 tahun mula menjadi mangsa sejak berusia 15 tahun, manakala mangsa berusia 22 tahun sejak berusia 18 tahun di beberapa lokasi sekitar Lahad Datu dan Tawau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek didakwa di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Jimmy berkata, bagi mangsa berusia 25 tahun, suspek berdepan lima pertuduhan, manakala bagi mangsa berusia 22 tahun pula melibatkan enam pertuduhan.

“Kes ini masih dalam siasatan lanjut dan pihak polis memandang serius kes seumpama ini,” katanya.

Reacties