Ewon bangga pencapaian usahawan tempatan berjaya perluas perniagaan

注释 · 329 意见

KUDAT: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berbangga dengan pencapaian usahawan tempatan Sabah dalam memperluaskan perniagaan yang mereka usahakan sendiri.

Katanya, pencapaian usahawan wanita tempatan, Norsiah Ahiddin yang berjaya membuka kilang ketiga Norcy BeautyLab Sdn. Bhd. di Matunggong Kudat adalah sesuatu yang membanggakan.

Menurutnya, sebelum ini, Norsiah membuka mini kilang pertama di Pusat Keusahawanan Matunggong serta kilang kedua di Nilai, Negeri Sembilan.

Ewon berkata, pembukaan kilang ketiga itu merupakan satu pencapaian membanggakan bukan sahaja kepada usahawan berkenaan, tetapi juga kepada pembangunan sektor keusahawanan di Sabah.

“Kejayaan ini membuktikan usahawan tempatan mampu berkembang daripada skala kecil kepada perusahaan yang lebih besar sehingga menembusi pasaran luar negeri,” katanya ketika berucap merasmikan kilang itu, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui kementeriannya akan terus memberikan sokongan kepada usahawan tempatan, termasuk bantuan geran, pembiayaan serta peluang penyertaan dalam ekspo perdagangan.

Menurutnya, usaha itu selaras dengan aspirasi 'Sabah First', iaitu melahirkan lebih ramai rakyat Sabah yang berpendapatan sama ada sebagai pemilik perniagaan atau tenaga kerja.

Katanya, pembukaan kilang itu turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat dengan menyediakan sekurang-kurangnya 15 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Pada majlis itu, Ewon turut berkesempatan membeli produk keluaran Norcy BeautyLab untuk dikongsikan bersama rombongan yang hadir.

注释