Projek Kinabalu Cable Car perlu patuh prinsip pembangunan mampan

Yorumlar · 618 Görüntüler

KOTA KINABALU: Cadangan projek Kinabalu Cable Car di kawasan Kundasang, Gunung Kinabalu perlu menepati prinsip pembangunan mampan serta pemuliharaan alam sekitar sebelum sebarang keputusan dibuat.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Jafry Ariffin berkata, sebarang pembangunan melibatkan Gunung Kinabalu perlu dinilai secara teliti dan menyeluruh dengan keutamaan kepada kelestarian alam sekitar serta pemeliharaan warisan semula jadi negeri.

Menurutnya, Gunung Kinabalu yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO memiliki nilai biodiversiti dan kepentingan ekologi tinggi, justeru pembangunan perlu mematuhi piawaian ketat termasuk penilaian impak alam sekitar (EIA) yang komprehensif.

“Kementerian menyokong pembangunan yang membawa manfaat ekonomi dan meningkatkan pengalaman pelancongan, namun ia mesti dilaksanakan secara terkawal dengan mengambil kira kapasiti tampungan serta mengelakkan tekanan berlebihan terhadap ekosistem sensitif,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada wakil Jesselton International Sdn Bhd yang membentangkan cadangan projek berkenaan bersama laporan kajian kebolehlaksanaannya.

Jafry menjelaskan, di peringkat global terdapat contoh pembangunan kemudahan cable car di kawasan Tapak Warisan Dunia yang dilaksanakan secara terkawal dan berasaskan pemuliharaan.

Antaranya termasuk Skyrail Rainforest Cableway di Wet Tropics of Queensland, Australia; Teleférico del Teide di Taman Negara Teide, Sepanyol; serta Tianzi Mountain Cableway di Wulingyuan Scenic Area, China.

Selain itu, contoh lain seperti Table Mountain Aerial Cableway dan Sugarloaf Cable Car menunjukkan pembangunan infrastruktur pelancongan boleh dilaksanakan tanpa menjejaskan biodiversiti serta landskap, dengan pengurusan pelawat secara terkawal.

“Pengalaman antarabangsa menunjukkan kemudahan seperti ini mampu mengurangkan tekanan aktiviti pendakian di samping meningkatkan akses pelancongan secara lebih tersusun dan mampan, namun pelaksanaannya mesti berlandaskan sains, kawalan ketat dan prinsip pemuliharaan,” katanya.

Beliau menegaskan pendekatan ‘conservation first’ perlu menjadi asas dalam menilai cadangan projek itu bagi memastikan tiada gangguan terhadap habitat hidupan liar serta integriti kawasan Taman Kinabalu.

Selain itu, cadangan projek perlu mengambil kira kepentingan komuniti tempatan di Kundasang dan Ranau termasuk peluang ekonomi, penyertaan komuniti serta perlindungan nilai budaya dan spiritual yang berkait rapat dengan Gunung Kinabalu.

Jafry turut menekankan kepentingan penggunaan teknologi hijau, reka bentuk mesra alam serta pematuhan kepada amalan terbaik antarabangsa dalam pelancongan mampan.

Katanya, sebarang keputusan berkaitan cadangan itu akan dibuat secara berhati-hati berasaskan data dan sains serta melalui libat urus bersama semua agensi berkaitan termasuk Sabah Parks dan pihak berkepentingan lain.

Beliau menambah kementerian kekal komited memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar selaras aspirasi Sabah sebagai destinasi pelancongan berimpak tinggi dan lestari.

Yorumlar