Rampasan dan kompaun Ops Bersepadu ESSCOM cecah RM680,250

コメント · 498 ビュー

SEMPORNA: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) merekodkan jumlah rampasan dan kompaun dianggarkan mencecah RM680,250 menerusi Operasi Bersepadu yang dilaksanakan di daerah ini, bermula semalam.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos, berkata operasi berkenaan berjaya mengesan pelbagai pelanggaran undang-undang membabitkan sektor perniagaan, imigresen, kastam serta hidupan liar.

Beliau berkata, sebanyak 165 notis dan kompaun dikeluarkan oleh pelbagai agensi penguatkuasaan yang terlibat sepanjang operasi itu dijalankan.

“Operasi ini memberi tumpuan kepada pematuhan aspek pelesenan premis, khususnya melibatkan sektor pelancongan, selain membanteras aktiviti tidak sah yang boleh menjejaskan keselamatan serta imej Semporna.

“Ia turut meliputi kesalahan di bawah undang-undang imigresen, perniagaan, pekerjaan, kastam dan hidupan liar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi bersepadu itu membabitkan 269 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Sebanyak 40 resort dan premis perniagaan diperiksa di sekitar kawasan bandar, perairan, penempatan setinggan dan kampung.

“Dalam pemeriksaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, seramai 38 individu diperiksa dengan 28 daripadanya dikenal pasti sebagai pendatang tanpa izin (PTI) dan ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Sementara itu, katanya, Jabatan Tenaga Kerja mengeluarkan 32 kompaun berkaitan pelanggaran Akta Kerja 1955, diikuti sembilan kompaun oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta lapan notis dan kompaun oleh Jabatan Perlindungan Data Peribadi.

“Majlis Daerah Semporna turut mengeluarkan 33 kompaun membabitkan kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen dan pelanggaran syarat premis.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pula telah mengeluarkan sebanyak 49 notis berkaitan aspek keselamatan kebakaran,” katanya.

 Antara premis yang diperiksa dalam operasi berkenaan.
PERIKSA: Antara premis yang diperiksa dalam operasi berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Victor berkata, Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas minuman keras tanpa lesen bernilai RM11,642.19 termasuk cukai.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengeluarkan tujuh kompaun, manakala Pertubuhan Keselamatan Sosial mengeluarkan 18 kompaun terhadap majikan yang gagal mendaftar pekerja,” katanya.

Beliau berkata, rampasan turut membabitkan hasil hidupan liar seperti daging babi, kura-kura dan burung murai dianggarkan bernilai RM1,300 oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah.

“Kejayaan operasi itu membuktikan kerjasama erat antara pelbagai agensi dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

“Operasi ini akan diteruskan secara berterusan di bawah Op SANGGAH bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara, selain mengekang jenayah rentas sempadan di Sabah Timur,” katanya.

コメント