Lapan lokaliti denggi aktif di Tawau, satu hotspot dikenalpasti

Komentar · 384 Tampilan

TAWAU: Sebanyak lapan lokaliti wabak denggi aktif direkodkan di daerah Tawau setakat hari ini dengan satu daripadanya dikategorikan sebagai ‘hotspot’.

Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr. Shameer Khan Sulaiman berkata, lokaliti berkenaan ialah Tanjung Batu Kampung Pukat Laut (Jambatan Ikan) yang mencatatkan sembilan kes dalam tempoh 33 hari.

Katanya, selain itu tujuh lagi lokaliti dikenal pasti sebagai wabak terkawal membabitkan beberapa kawasan termasuk Taman Hotspring Jaya, Kampung Senang Hati Batu 4 1/2, Tanjung Batu Pukat Darat dan Taman Victoria.

“Turut tersenarai ialah Batu 2 Lorong Habib Abdul Rahman, Kampung Sri Aman Batu 3 1/2 Apas dan Kampung Rawa-Rawa.

“Kes di semua lokaliti ini berada dalam pemantauan rapi pihak kesihatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, jumlah kes di lokaliti lain adalah antara dua hingga enam kes dengan tempoh wabak antara dua hingga 20 hari.

Beliau berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan aktiviti kawalan termasuk pemeriksaan kawasan pembiakan nyamuk Aedes dan aktiviti semburan bagi mengekang penularan.

“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan persekitaran dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk bagi mengelak peningkatan kes,” katanya.

Komentar