Musa menyeru seluruh rakyat Sabah terus pelihara perpaduan

Reacties · 470 Uitzichten

KOTA KINABALU: Seluruh rakyat Sabah diseru untuk terus memelihara perpaduan, memperkukuh integriti serta mengutamakan kepentingan negeri mengatasi kepentingan peribadi.

Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman berkata, kestabilan dan kemajuan yang dinikmati hari ini, adalah hasil kesepakatan dan komitmen bersama.

Menurutnya, Sabah melalui pelbagai cabaran dan perubahan. Namun, dengan adanya kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat, negeri ini terus melangkah ke hadapan.

Katanya, ia seiring dengan usaha memperkukuh ekonomi, meningkatkan kesejahteraan sosial serta memastikan pembangunan yang lebih inklusif dan seimbang, khususnya di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini Sabah memperlihatkan perkembangan yang memberangsangkan dalam sektor ekonomi, pelaburan dan pembangunan infrastruktur. 

"Pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi memperkukuh asas ekonomi negeri melalui pemerkasaan sektor utama seperti pertanian, pelancongan, perindustrian serta ekonomi berasaskan sumber. 

"Usaha menarik pelaburan domestik dan asing turut dipergiatkan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan yang mampan. 

"Pembangunan infrastruktur asas yang meliputi pembinaan dan penaiktarafan jalan raya, sistem bekalan air bersih serta kemudahan bekalan elektrik yang stabil harus diberikan penekanan.

"Usaha ini amat penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara, di samping merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh jaringan perhubungan antara bandar dan luar bandar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah di sini hari ini.

 Ketibaan Musa dan Faridah disambut meriah di majlis Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Tuan Yang Terutama, Yang Dipertua Negeri Sabah.
TIBA: Ketibaan Musa dan Faridah disambut meriah di majlis Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Tuan Yang Terutama, Yang Dipertua Negeri Sabah.

Katanya, aspek pendidikan dan pembangunan modal insan, juga akan diberikan penekanan bagi melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran tinggi dan berdaya saing, selaras dengan keperluan pasaran kerja masa kini.

"Turut diberikan keutamaan adalah aspek kesihatan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat, melalui peningkatan kemudahan perubatan yang berkualiti dan perkhidmatan kesihatan secara menyeluruh.

"Saya merasa gembira mendapat tahu bahawa, transformasi digital dalam penyampaian perkhidmatan awam sedang giat dilaksanakan.

"Inisiatif pendigitalan sistem dan proses kerja bertujuan meningkatkan kecekapan, ketelusan dan kemudahan akses kepada rakyat.

"Pendekatan ini, membolehkan perkhidmatan kerajaan dapat disampaikan dengan lebih pantas, tepat dan berkesan demi kesejahteraan seluruh rakyat Sabah," jelasnya.

Dalam pada itu beliau berkata, sambutan majlis istiadat itu merupakan penghargaan terhadap amanah dan tanggungjawab demi memelihara kesejahteraan negeri serta kebajikan rakyat.

"Saya amat menghargai doa, sokongan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi daripada rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini. Semangat seperti inilah yang menjadi asas kestabilan dan kemakmuran yang kita kecapi hari ini. 

"Sebagai Yang Dipertua Negeri, saya sentiasa berpegang teguh kepada Perlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

"Saya akan terus berperanan sebagai payung negeri, berlaku adil dan saksama kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang, demi memastikan keamanan dan kestabilan Sabah sentiasa terpelihara," katanya.

Musa turut mengingatkan mengenai keperluan untuk memperkukuh integriti dalam perkhidmatan awam dalam usaha membina sebuah pentadbiran yang dihormati dan diyakini rakyat. 

Beliau berkata, integriti bukan sekadar slogan, tetapi merupakan nilai teras yang mencerminkan kejujuran, ketelusan dan komitmen dalam melaksanakan amanah. 

"Dalam masa sama, akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan kewangan negeri amat penting bagi memastikan setiap peruntukan yang dibelanjakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat. 

"Setiap keputusan perbelanjaan hendaklah dibuat secara teliti, berpandukan prinsip tadbir urus yang baik serta mengambil kira keberkesanan dan impak jangka panjang," katanya.

Beliau turut menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan seluruh anggota Kabinet atas komitmen berterusan dalam merancang dan melaksanakan dasar-dasar pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, segala usaha yang dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan iltizam telah menyumbang kepada kestabilan, kemajuan serta kemakmuran negeri yang dicintai ini. 

Reacties