5 lelaki ditahan, cermin kenderaan dipecahkan di Kota Kinabalu

Commenti · 438 Visualizzazioni

KOTA KINABALU: Tindakan sekumpulan individu bertindak agresif terhadap sebuah kenderaan berhampiran Jesselton Quay di sini, membawa kepada penahanan lima lelaki tempatan bagi membantu siasatan.

Kejadian yang tular di media sosial itu dipercayai berlaku kira-kira jam 1.45 petang semalam selepas mangsa yang juga seorang guru berusia 30 tahun selesai menghadiri majlis di Sabah International Convention Centre.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2.35 petang pada hari sama.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa berdepan dengan beberapa individu dipercayai pekerja sebuah premis kurier ketika menuju ke kenderaannya.

“Berlaku provokasi lisan sebelum situasi menjadi tegang, menyebabkan mangsa bertindak mengundurkan kenderaannya dan secara tidak sengaja melanggar sebuah kenderaan lain.

“Susulan itu, beberapa individu bertindak mengejar mangsa sebelum memecahkan cermin bahagian pemandu dan cermin belakang kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa turut mendakwa diugut supaya keluar dari kenderaan ketika kejadian berlaku.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, pihak polis melancarkan operasi dan berjaya menahan lima lelaki tempatan malam tadi bagi membantu siasatan.

“Permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat bagi melengkapkan siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya.

Syed Lot berkata, pihak polis memandang serius kejadian berkenaan dan memberi jaminan siasatan dijalankan secara telus serta adil.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.

Commenti