Enam individu positif dadah ditahan dalam serbuan pusat hiburan di Penampang

הערות · 361 צפיות

PENAMPANG: Kegiatan enam individu yang berhibur menggunakan bahan terlarang di sebuah pusat hiburan terbongkar apabila ditahan dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, awal pagi Jumaat.

Kesemua suspek ditahan dalam operasi yang dijalankan antara jam 2 hingga 4 pagi di sebuah premis hiburan di Pekan Koidupan selepas didapati berkelakuan mencurigakan.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, pemeriksaan lanjut menemukan satu paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki ketamin dengan anggaran berat 2.08 gram.

“Hasil ujian saringan awal mendapati semua suspek positif dadah jenis ketamin, methamphetamine dan amphetamine.

“Kesemua mereka terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita berusia antara 22 hingga 38 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati seorang suspek mengaku mendapatkan bekalan dadah daripada individu dikenali sebagai ‘mama’ yang dipercayai bekerja di pusat hiburan berkenaan.

“Semua suspek turut mengaku mengambil ketamin ketika berhibur,” katanya.

Beliau berkata, nilai rampasan dianggarkan sekitar RM500 dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Risikan dan pemantauan berterusan dijalankan termasuk usaha mengesan pembekal dadah terbabit,” katanya.

הערות