Isu penyalahgunaan AI terhadap karya lagu semakin membimbangkan

Komentar ยท 468 Tampilan

KOTA KINABALU: Penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam menghasilkan semula lagu yang mempunyai karya dan penyanyi asal kini dilihat semakin membimbangkan.

Situasi itu berlaku apabila terdapat pihak tidak bertanggungjawab menggunakan teknologi berkenaan untuk menjana semula suara penyanyi asal serta mengolah karya tanpa kebenaran, sekali gus menjejaskan reputasi artis dan integriti karya asal.

Pegawai Khas (Seni dan Kreatif) kepada Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Jimmy Palikat, sebelum ini menyeru kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar mengambil langkah proaktif bagi memantau serta mengekang aktiviti berkenaan daripada terus berleluasa dalam ruang digital.

JIMMY
JIMMY

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, menggesa supaya aktiviti sedemikian dihentikan kerana boleh menjejaskan hak cipta serta kepentingan pengkarya dan penyanyi asal.

Menurutnya, karya seni dan muzik tempatan perlu dihormati serta dilindungi supaya pengkarya tanah air dapat terus berkarya secara konsisten dan menyumbang kepada perkembangan industri seni kreatif.

“Menghormati hak cipta dan hasil karya asal penting bagi memastikan industri seni tempatan terus berkembang dan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem kreatif negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kota Kinabalu, pada Khamis.

Komentar