Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan hasil risikan sebelum bot ronda Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi berhampiran 0.3 batu nautika barat daya Terminal Jeti Feri Kudat.
“Suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan menaiki bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran.
“Pemeriksaan lanjut menemukan dua bungkusan kecil berisi hablur putih yang disyaki dadah,” katanya.
Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan menerusi Op Sejahtera dan Op Khas Pagar Laut yang giat dijalankan bagi mengekang jenayah rentas sempadan di perairan negara.
“Susulan penahanan itu, bot bersama suspek diiring masuk ke Jeti Marina Kudat sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Zon Maritim Kudat untuk tindakan lanjut.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1,500.
“Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki bahan disyaki dadah serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah susulan kegagalan mempamerkan lesen bot yang sah,” katanya.
Hasbullah menegaskan, Maritim Malaysia tidak berkompromi terhadap sebarang aktiviti jenayah di laut, khususnya melibatkan pengedaran dadah yang semakin membimbangkan.
Beliau turut menggesa komuniti maritim agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kudat bagi membolehkan tindakan segera diambil.