Polis tahan seorang lelaki tiada dokumen pengenalan diri sah

Kommentarer · 461 Visningar

KOTA KINABALU: Akibat gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, polis menahan seorang lelaki semasa Operasi Cegah Jenayah di kawasan pusat membeli-belah di Jalan Sulaman di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, tangkapan itu dibuat kira-kira jam 3 petang semalam oleh sepasukan anggota Taskforce Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Menurutnya, operasi terbabit dijalankan di kawasan berkenaan berikutan peningkatan kes kecurian.

"Semasa operasi dijalankan, pihak polis menahan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di Malaysia.

"Suspek seterusnya ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu jelasnya, satu rakaman video berkaitan tangkapan berkenaan turut tular di media sosial Facebook.

Sehubungan itu, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berhubung status kewarganegaraan suspek.

Beliau berkata, Polis Daerah Kota Kinabalu akan terus mempergiatkan Operasi Cegah Jenayah di lokasi-lokasi tumpuan awam bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat sentiasa terpelihara.
 

Kommentarer