Mayat lelaki ditemui di tepi Sungai Kalansanan inanam

Mga komento ยท 1304 Mga view

KOTA KINABALU: Mayat seorang lelaki ditemukan berhampiran Sungai Kalansanan, Inanam, di sini, pagi tadi dan siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian itu setakat ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira 30 meter dari jalan utama di tepi sungai berkenaan sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan pihak berkuasa di lokasi.

Katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah telah menjalankan pemeriksaan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kesan kecederaan atau tanda-tanda perbuatan jenayah pada tubuh mangsa.

“Identiti mangsa dikenal pasti sebagai lelaki berusia 34 tahun berstatus Pemastautin Tetap (pemegang MyPR) dan setakat ini tiada unsur jenayah dikesan di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian secara rasmi.

Dalam pada itu, ibu mangsa dilihat hadir di lokasi kejadian dan suasana menjadi pilu sebaik mayat anak lelakinya dibawa keluar dari sungai dengan bantuan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas.

Kasim turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan yang boleh mengganggu siasatan serta menyalurkan maklumat terus kepada pihak polis sekiranya mempunyai informasi berkaitan.

Mga komento