Suspek samun kedai bersenjata ditahan kurang 48 jam di Putatan

Comments · 440 Views

PENAMPANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kejadian samun bersenjata di sebuah premis 24 jam di daerah ini 25 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superitendan Sammy Newton berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.57 pagi apabila suspek dipercayai bersenjatakan objek tajam bertindak merompak wang tunai dianggarkan RM300 sebelum melarikan diri.

“Bertindak dengan maklumat dan risikan pantas, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Penampang berjaya menahan lelaki berusia 33 tahun itu di sebuah hotel di Putatan pada 26 Februari, iaitu kurang 48 jam selepas laporan diterima.

“Dalam tangkapan itu, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai digunakan semasa kejadian termasuk sebuah topi keledar, pakaian, sebilah pisau serta sebuah motosikal,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurutnya, hasil semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau membabitkan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah.

“Siasatan lanjut turut mendapati lelaki berkenaan dipercayai terbabit dalam beberapa kes samun lain yang dilaporkan sebelum ini di sekitar daerah terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

“Sehubungan itu, orang ramai diseru supaya menjadi mata dan telinga pihak polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah bagi membantu usaha membanteras jenayah serta mengekalkan keselamatan komuniti,” katanya.

Comments