MA63 perlu dimuktamad sebelum PRU akan datang

Comments ยท 521 Views

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu diselesaikan secara tuntas sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi memastikan hak Sabah dan Sarawak terus terpelihara dalam kerangka Persekutuan.

Ahli Dewan Negara, Datuk Bobbey Suan berkata, selepas lima tahun isu itu berulang kali dibangkitkan di Parlimen dan Dewan Negara, sudah tiba masanya keputusan muktamad dicapai selaras semangat Perlembagaan.

Menurutnya, MA63 adalah asas pembentukan Malaysia yang menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dalam satu Persekutuan berdaulat.

“Sebarang perbezaan pandangan berkaitan MA63 hendaklah diselesaikan secara matang melalui rundingan institusi dan saluran perundangan.

“Kerajaan Persekutuan bersikap terbuka, profesional serta konstruktif demi perpaduan negara,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Negara.

Mengulas isu petroleum, beliau berkata walaupun perkara itu tidak dinyatakan secara spesifik dalam teks MA63, ia tetap berkait rapat dengan kerangka pembahagian kuasa dan hasil antara Persekutuan dan wilayah.

“Sabah dan Sarawak adalah penyumbang utama industri minyak dan gas negara. Apabila isu ini dibangkitkan, ia bukan ancaman kepada Persekutuan tetapi tuntutan berasaskan hak yang wajar dirunding secara matang dan berkerangka,” katanya.

Beliau turut merujuk pendirian Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yang menegaskan pelaksanaan 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah perlu dilaksanakan selaras Perkara 112C dan 112D serta Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Bobbey berkata, tuntutan itu berlandaskan prinsip keadilan fiskal dan pembangunan saksama, terutama ketika Sabah masih berdepan cabaran asas seperti bekalan air, elektrik dan infrastruktur jalan raya.

Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan memperkukuh integriti serta menangani ancaman keselamatan digital termasuk jenayah penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan.

Katanya, ancaman masa kini tidak lagi terhad kepada sempadan fizikal, sebaliknya semakin serius di ruang digital termasuk penyebaran maklumat palsu, manipulasi teknologi ‘deepfake’, ekstremisme dan jenayah siber.

Beliau menggesa kerajaan memperkukuh undang-undang berkaitan jenayah siber dan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi, termasuk mempertimbangkan hukuman muflis serta penjara mandatori terhadap pelaku yang disabitkan kesalahan.

Selain itu, katanya, langkah proaktif seperti memperluas literasi digital dan kewangan hingga ke peringkat akar umbi serta mewujudkan pusat respons pantas bagi pembekuan segera akaun mencurigakan perlu dilaksanakan.

“Keselamatan digital hari ini adalah sebahagian daripada keselamatan negara. Kita tidak boleh membiarkan rakyat terus menjadi mangsa,” katanya.

Mengulas polemik cadangan pembukaan konsulat India di Sabah, beliau berkata perkara itu perlu dilihat secara rasional dan berasaskan fakta kerana ia amalan lazim dalam diplomasi antarabangsa bagi memudah cara urusan perdagangan, pelaburan dan kebajikan warganegara.

Pada masa sama, beliau berpandangan pembukaan konsulat Filipina juga wajar dipertimbangkan mengambil kira jumlah rakyat negara itu di Sabah serta isu dokumentasi dan sosial yang memerlukan penyelesaian rasmi melalui saluran kerajaan-ke-kerajaan.

Sehubungan itu, beliau memohon Menteri Luar Negeri menjelaskan secara terbuka rasional, skop fungsi dan implikasi pembukaan konsulat berkenaan bagi mengelakkan salah faham.

Comments