Restoran bertempat di rangalau kiulu didakwa beroperasi atas rizab jalan raya, laporan polis dibuat

הערות · 454 צפיות

KOTA KINABALU: Sebuah restoran di Jalan Tamparuli-Kiulu didakwa beroperasi di atas rizab jalan hingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya serta penduduk sekitar.

Perkara itu didedahkan seorang pengadu dikenali sebagai SK Ong yang mewakili pemilik tanah berhampiran apabila membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran, 24 Februari lalu.

Menurutnya, struktur premis di KM6.6 berhampiran Kampung Rangalau Lama, berdekatan kawasan rekreasi Riverbug, didakwa dibina tanpa kelulusan di atas tanah rizab di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya Sabah.

Katanya, laporan dibuat mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan berkaitan gangguan awam selepas mendakwa operasi restoran itu menjejaskan keselamatan serta ketenteraman penduduk setempat.

“Premis berkenaan juga dipercayai tidak mempunyai lesen perniagaan sah selain pelan bangunan yang tidak diluluskan pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam kenyataannya, di sini.

Beliau mendakwa kedudukan restoran yang terletak di kawasan selekoh berbahaya menyebabkan kenderaan pelanggan diletakkan di bahu jalan sehingga menghalang pandangan pemandu.

“Keadaan itu meningkatkan risiko kemalangan, terutama pada waktu puncak dan hujung minggu,” katanya.

Selain isu keselamatan, beliau turut mendakwa sisa dapur dibuang ke kawasan tanah berhampiran sehingga menimbulkan bau tidak menyenangkan serta menarik kehadiran tikus.

Menurutnya, pemeriksaan sebelum ini sudah dijalankan oleh Majlis Daerah Tuaran dan Pejabat Tanah Tuaran, malah prosedur penyingkiran struktur di bawah Seksyen 173 Ordinan Tanah Sabah difahamkan telah dimulakan.

Bagaimanapun, beliau mendakwa sehingga kini tiada tindakan penguatkuasaan diambil dan restoran berkenaan masih beroperasi seperti biasa.

“Struktur ini sudah berada di situ sejak Ogos tahun lalu. Perkara ini tidak sepatutnya dibiarkan berlarutan tanpa tindakan tegas,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa berkaitan dapat mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan orang awam terjamin dan undang-undang dipatuhi sepenuhnya.

הערות