Menurut laporan Harian Metro, kesemua tertuduh, iaitu Muhammad Aqmal Hafifi Mustafa Kamal, 19; Ahmad Rushdi Jumadi, 20; Muhammad Nur Shafiq Abdullah, 25; Muhammad Haikal Zulkarnain, 25; Mohamad Amierul Hakim Shamsuri, 19; Mohamad Danish Hakim Kamaruddin, 25; Syamsul Haniziew Saiful Razali, 20; dan Nuredrianna Balqqisyh Anabella Norazman, 22, mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Atifah Azimah Wahab.
Dalam pertuduhan pertama, kesemua tertuduh termasuk Nuredrianna atau dikenali sebagai Bella, didakwa bersama-sama melakukan ugutan jenayah terhadap Muhammad Faris Syahmi Mohd Ridzwan, 22, dengan ancaman untuk membunuh, bertujuan menakutkan mangsa.
Bagi pertuduhan kedua, mereka bersama dua lagi individu yang masih bebas, didakwa melakukan pemerasan terhadap mangsa dengan ugutan tidak akan berhenti memukul sehingga mangsa membayar wang berjumlah RM3000.
Ekoran ugutan tersebut, mangsa menyerahkan wang tunai RM600 dan kunci motosikal Yamaha Y16 kepada salah seorang tertuduh, Mohamad Amierul Hakim.
Manakala dalam pertuduhan ketiga, kesemua tertuduh bersama dua lagi yang masih bebas didakwa atas kesalahan mengurung mangsa secara bersama-sama.
Tujuh tertuduh lelaki turut mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Muhammad Faris Syahmi, dengan seorang lagi masih bebas turut terlibat.
Semua kesalahan ini dilaporkan berlaku di sebuah pangsapuri di Plentong, Masai, Johor Bahru antara jam 10 malam hingga 4 pagi pada 18 hingga 19 April lalu.
Pertuduhan pertama sehingga ketiga dibuat mengikut Seksyen 506, Seksyen 384, dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan, manakala pertuduhan keempat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.