Wanita Dipenjara 3 Tahun Mengaku memberi maklumat palsu kepada JPN

Comments · 262 Views

SEMPORNA : Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengemukakan maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), 10 tahun lalu.

Sitti Jalminah Biddarin, 56, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada enam orang anak itu didakwa mengemukakan maklumat palsu ketika mendaftarkan kad pengenalan bernombor 020524-12-0010 atas nama Norwatim Binti Budlain yang bukan anak kandung tertuduh di JPN Semporna, kira-kira jam 11.23 pagi, pada 15 Disember 2014.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25 (1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon dikecualikan daripada hukuman penjara sebaliknya dikenakan hukuman denda sahaja.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa JPN Sabah, Nurul Fariza Abdullah memohon hukuman berat dan maksimum dikenakan terhadap tertuduh kerana perbuatan memberikan maklumat palsu dan menganjurkan seorang individu yang bukan warganegara bagi mendapatkan suatu identiti iaitu kad pengenalan berstatus warganegara dengan menggunakan sijil kelahiran anaknya yang telah meninggal dunia adalah kesalahan serius.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap semalam.

Comments