ejen penyeludupan PATI ditahan dua bot disita - Maritim Tawau

Comments · 522 Views

TAWAU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau berjaya menahan dua buah bot tempatan dalam dua tangkapan berasingan semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan OP SEJAHTERA dan OP PLUTO TIMUR berjaya mengesan sebuah bot kayu mencurigakan bergerak dari Perairan Sungai Serudung menuju ke Sungai Kalabakan pada pukul 1.40 petang.

Katanya, pemeriksaan awal ke atas bot kayu yang ditahan di kedudukan 6.7 batu nautika barat daya Muara Tanjung Doris mendapati seorang lelaki bertindak selaku juragan bot gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan tidak memiliki lesen pendaftaran bot.

“Pemeriksaan selanjutnya ke atas telefon bimbit milik suspek yang disyaki merupakan ejen penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di kawasan pedalaman berdasarkan pada maklumat perbualan yang terkandung dalam peti pesanan telefon bimbit suspek,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu di lokasi berasingan, Shahrizan berkata, sebuah lagi bot penumpang tempatan turut ditahan bot peronda Maritim Malaysia.

Katanya, dalam operasi sama selepas menemukan 200 kilogram beras putih, empat gelen bahan api jenis petrol anggaran 100 liter dan dua unit tong gas LPG berisi.

“Ia dimuat seorang juragan lelaki tempatan berusia 28 tahun di kedudukan 0.6 batu nautika tenggara Jeti CIQ Tawau lebih kurang pukul 3.45 petang hari yang sama.

“Pemeriksaan dokumentasi ke atas bot terbabit mendapati juragan gagal mengemukakan sebarang permit serta lesen yang sah berkaitan muatan dan barang kawalan yang dibawa serta melanggar Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah,” jelas Shahrizan.

Menurutnya, kedua-dua juragan, bot serta muatan tersebut ditahan lalu dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau.

“Kedua-dua suspek akan disiasat di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah,Akta Kawalan Bekalan 1961,Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua barangan termasuk kedua-dua bot, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah melebihi RM34,000,” katanya.

Comments