Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, berdasarkan data eKasih sehingga 31 Mei 2026, jumlah KIR miskin tegar yang dikunci pada Januari tahun ini berjaya dikurangkan 100 peratus.
Katanya, pencapaian itu adalah hasil pelaksanaan pelbagai intervensi bantuan yang dilaksanakan secara bersepadu oleh kerajaan negeri dan Persekutuan.
Menurutnya, kejayaan itu menunjukkan pendekatan berasaskan data, penyelarasan bantuan melalui sistem Pangkalan Data Negeri Sabah (PADANS) dan eKasih serta pelaksanaan pelbagai intervensi bantuan secara bersasar berjaya membawa perubahan yang signifikan kepada golongan sasar.
“Bagaimanapun, pencapaian ini bukanlah noktah kepada perjuangan kita. Kerajaan negeri menyedari masih terdapat rakyat yang memerlukan perhatian dan bantuan.
“Berdasarkan data eKasih sehingga 31 Mei 2026, seramai 57,710 KIR masih berada dalam kategori miskin berbanding 70,298 KIR pada Januari 2026, iaitu penurunan sebanyak 17.9 peratus dalam tempoh empat bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran program Outreach Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) daerah Tuaran di di sini hari ini.
Dalam pada itu Hajiji berkata, jumlah keseluruhan individu yang berada dalam kategori miskin turut menunjukkan penurunan ketara.
Beliau berkata, bilangan KIR dan Ahli Isi Rumah (AIR) yang berada dalam kategori miskin juga berkurangan daripada 743,939 orang pada Januari 2026 kepada 577,110 orang pada Mei 2026.
Katanya, berdasarkan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2024 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), insiden kemiskinan mutlak Sabah menurun daripada 19.7 peratus pada 2022 kepada 17.7 peratus pada 2024.
"Bagi insiden kemiskinan tegar juga mencatat penurunan iaitu pada 2022 insiden kemiskinan tegar direkod sebanyak 1.2 peratus dan pada 2024 insiden kemiskinan tegar berkurang kepada 0.7 peratus iaitu pengurangan sebanyak 0.5 peratus.
“Walaupun Sabah masih merekodkan kadar kemiskinan mutlak dan miskin tegar tertinggi di Malaysia, penurunan peratus insiden ini menunjukkan pelbagai dasar dan program pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan mula membuahkan hasil.
"Kejayaan mencapai sifar miskin tegar pada tahun ini merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan Sabah ke arah mencapai sasaran pembangunan sosial yang lebih inklusif," jelasnya.
Namun katanya, cabaran sebenar yang masih perlu ditangani adalah mengurangkan insiden kemiskinan negeri yang masih tinggi berbanding negeri-negeri yang lain.
Sehubungan itu beliau berkata, SMJ 2.0 menetapkan hala tuju yang jelas untuk mengurangkan insiden kemiskinan secara berperingkat sehingga menghampiri kadar nasional menjelang 2030 melalui pelaksanaan program pembangunan yang lebih bersasar, berimpak tinggi dan mampan.
Hajiji berkata, kerajaan negeri turut menyasarkan insiden kemiskinan mutlak Sabah dapat dikurangkan secara berperingkat kepada sekitar tiga hingga lima peratus dan insiden miskin tegar hingga kosong ke 0.1 peratus menjelang 2030.
“Bagi mencapai matlamat itu, kerajaan akan terus melaksanakan Program Menoktahkan Kemiskinan dan Miskin Tegar Negeri Sabah dengan memberi tumpuan kepada penyediaan rumah mampu milik, pembangunan modal insan, penciptaan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran, pembangunan ekonomi luar bandar serta bantuan kewangan yang bersasar kepada golongan yang memerlukan.
"Pendekatan ini juga selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara adil dan saksama oleh seluruh rakyat tanpa mengira lokasi, latar belakang dan status ekonomi," tambahnya.
Beliau berkata, usaha kerajaan negeri dalam menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini berpandukan lima intervensi bantuan utama kepada golongan miskin tegar.
Menurutnya, intervensi pertama ialah bantuan perumahan melalui pemberian bantuan rumah percuma di bawah Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya, kedua bantuan peluang pekerjaan melalui Program MySMJ Kerja dan ketiga bantuan Pendidikan Modal Insan dengan penyediaan 14 Jenis Bantuan Pendidikan termasuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah dan bantuan daripada Yayasan Sabah serta Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
"Intervensi keempat ialah bantuan kebajikan dengan memfokuskan kepada golongan yang tidak produktif seperti warga emas, pesakit terlantar dan orang kurang upaya (OKU) dan intervensi terakhir ialah bantuan keusahawanan dan peningkatan ekonomi melalui program seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan Sejahtera MADANI.
"Kerajaan negeri meletakkan agenda pembasmian kemiskinan sebagai keutamaan dalam pembangunan negeri ini.
“Ini adalah tekad kerajaan negeri bagi memastikan tiada rakyat tercicir daripada arus pembangunan negara dan setiap rakyat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera.
"Dalam konteks ini, usaha telah dan sedang kita laksanakan di bawah Pelan Pembangunan SMJ 1.0 dan kini diteruskan melalui Pelan Pembangunan SMJ 2.0,” katanya.