Sabah Sediakan Pemeriksaan Kesihatan Secara Percuma Untuk Rakyat

Comments · 99 Views

KOTA KINABALU: Kabinet negeri Sabah bersetuju untuk menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, perkhidmatan itu akan dilaksanakan di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat.

Katanya, untuk peringkat permulaan ini, pemeriksaan kesihatan itu akan dilaksanakan di 10 daerah di Sabah.

“Ia akan dilaksanakan melalui perkhidmatan bergerak menggunakan van khas yang dilengkapi peralatan perubatan canggih untuk sampai ke kawasan luar bandar,” katanya selepas mesyuarat pasca kabinet Jabatan Ketua Menteri di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Selain itu beliau berkata, kabinet turut meluluskan penubuhan Majlis Logistik Sabah di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya.

Menurutnya, majlis berkenaan akan meneliti penggubalan dasar, pengurusan dan pemantauan isu logistik di Sabah.

Hajiji berkata, mesyuarat kabinet juga bersetuju membenarkan penggunaan bahan binaan konvensional berbanding Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi pembinaan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).

Beliau berkata, antara sebab kelewatan Rumah Mesra SMJ untuk disiapkan kerana pihak kontraktor tidak dapat menjalankan projek menggunakan bahan IBS berikutan kosnya.

“Dengan melonggarkan syarat, kami berharap pembinaan Rumah Mesra SMJ akan lebih cepat siap,” katanya sambil menambah reka bentuk Rumah Mesra SMJ akan dikekalkan.

Beliau berkata, kabinet turut memberi lampu hijau untuk menaikkan Paitan dan Sook sebagai menjadi daerah penuh.

Comments