Buat helah mahu masak untuk suami, 281 PATI ditahan di ‘Colombia’ Klang

Comments · 68 Views

KLANG – Seramai 281 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya dicekup dalam Op Khas Aman di sekitar Jalan Sekolah Persiaran Raja Muda, Pelabuhan Klang hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, penahanan kesemua PATI termasuk 52 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan itu dilakukan menerusi operasi selama tiga jam bermula pukul 2.30 petang.

Katanya, pemeriksaan terdahulu dilakukan terhadap 469 warga asing dari pelbagai negara.

“Hasilnya, warga nepal mencatatkan jumlah PATI paling tinggi iaitu dengan 122 diikuti Bangladesh (63), Indonesia (52), India (24), Myanmar (14) dan Pakistan (6),” katanya, hari ini.

Beliau berkata, operasi tersebut disertai oleh 348 anggota dan pegawai dari JSJ, Pasukan Gerakan Am dan Jabatan Imigresen.

Mohd. Shuhaily menjelaskan, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Terdahulu dalam operasi tersebut, ada sebilangan PATI didapati menyorok di bumbung yang berjaya dikesan dron selain kedai dobi layan diri.

Malah, ada antara mereka yang membuat helah ingin segera pulang kerana ingin memasak untuk suami.

Klang sebelum ini ditularkan sebagai lokasi yang tidak ubah seperti ‘Colombia’ sehingga menimbulkan rasa gusar di kalangan penduduk. – KOSMO! ONLINE

Comments