Penduduk kampung ‘welding’ paip air JANS yang bocor, atasi masalah tekanan air

Comments · 422 Views

Kota Kinabalu : Sekumpulan penduduk Kampung Namukon yang terletak di daerah Tongod mengambil inisiatif sendiri bagi membaiki paip bocor yang menjejaskan tekanan air ke kampung mereka dan sekitarnya.

Meskipun ianya bukan tanggungjawab penduduk, namun mereka tidak menunggu tindakan petugas Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk memperbaiki paip bocor bagi memastikan masalah yang dihadapi penduduk dapat diselesaikan dengan segera.

Kejadian paip bocor menjadi antara punca gangguan bekalan air yang sering dialami pengguna di Sabah, selain menyumbang kepada air tidak berhasil (NRW) yang ditanggung JANS.

Tindakan sekumpulan penduduk yang prihatin itu turut dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah yang memuji tindakan pantas belia di kampung berkenaan menyelesaikan masalah paip bocor itu.

“Tahniah kepada belia-belia Kampung Namukon, Tongod kerana menjadi sebahagian daripada penyelesai masalah.

“Atas kesedaran masyarakat yang tinggi tanpa mengira ganjaran mereka turun secara sukarela membantu membaiki (welding) paip air JANS yang bocor dan mengganggu tekanan air kepada masyarakat kampung setempat,” katanya dalam perkongsian di laman Facebook.

Tongod adalah sebuah daerah terpencil dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut dan Parlimen Kinabatangan yang terletak di tengah negeri Sabah.

Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) turut berkongsi beberapa video yang menunjukkan paip bocor dan belia Kampung Namukon sedang melakukan kerja mengimpal bagi menutup kebocoran paip.

Menerusi hantaran yang sama, Masiung turut mengingatkan pihak JANS supaya tidak menjadikan amalan lambat bertindak sebagai budaya jabatan berkenaan.

“Apapun bukan pula menjadi amalan tradisi kepada Jabatan Air untuk tidak bertindak segera. Selepas ini bolehlah mereka ini (belia Kampung Namukon) diberi peluang menjadi kontraktor berdaftar di Jabatan Air,” katanya.

Pada tahun lalu, Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya menyatakan bahawa kadar NRW di Sabah mencecah 60 peratus, kebanyakannya disebabkan paip bocor, selain kecurian atau penyambungan paip secara haram. – SABAH MEDIA

Comments