Maritim Malaysia tahan 28 individu yang cuba masuk ke Sabah dari Filipina

Comments ยท 152 Views

Kota Kinabalu : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dinaiki 28 individu mencurigakan dari perairan Filipina menuju ke perairan Kota Kinabalu petang semalam.

Semua individu yang menaiki bot nelayan itu ditahan Maritim Malaysia di posisi 10.2 batu nautika Utara Tanjung Luk Pisuk, Tuaran, kira-kira jam 5.43 petang.

Pengarah Maritim Malaysia Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, hasil daripada pemantauan radar Sistem Pengawasan Laut, Sabah (SWASLA) telah mengesan pergerakan bot berkenaan.

Katanya, bot peronda Maritim yang sedang melaksanakan beberapa siri operasi telah diarahkan untuk menuju ke lokasi bot terbabit untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati nama juragan tiada dalam salinan lesen bot selain beliau bersama 12 orang penumpang telah mengemukakan dokumen pengenalan diri yang meragukan.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati seorang penumpang mengemukakan kad pengenalan Malaysia, seorang mengemukakan dokumen pas lawatan sosial, empat orang mengemukakan sijil lahir dan selebihnya gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.

“Kesemua mereka berumur lingkungan 14 hingga 70 tahun. Dalam tangkapan berkenaan, salah seorang penumpang merupakan seorang lelaki buta berusia 52 tahun dan sebuah keluarga terdiri daripada bapa bersama seorang anak lelaki dan dua anak perempuan berumur lingkungan 14 hingga 23 tahun.

“Empat orang wanita warga emas berumur lingkungan 55 hingga 66 tahun turut berada dalam bot tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Suhaimi berkata, juragan, penumpang dan bot telah ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.

Katanya, bot, juragan dan penumpang diiring ke Jeti Maritim Negeri Sabah Sepanggar untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menghalang tugas pegawai dan anggota agensi ini dan memohon semua komuniti maritim untuk menjadi ‘mata dan telinga’ Maritim Malaysia agar sebarang jenayah laut dapat dibendung,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

Comments