Google hentikan 100 pekerja di YouTube dan digantikan dengan AI

Comments · 221 Views

SAN FRANCISCO: Google akan memberhentikan 100 pekerja di platform video YouTube miliknya, selepas memecat lebih 1,000 pekerja pada minggu lalu, dengan tugas mereka digantikan oleh kecerdasan buatan (AI).

Ketua Pegawai Eksekutif Google, Sundar Pichai, memberitahu kakitangannya supaya bersiap untuk menghadapi lebih banyak pemberhentian di syarikat itu pada tahun ini, lapor The Verge pada 17 Januari, memetik satu pengumuman dalaman.

Dalam memo itu, Pichai berkata langkah terbabit bertujuan membuang lapisan pekerja bagi memudahkan pelaksanaan dan meningkatkan kepantasan di beberapa bidang, menurut laporan itu.

Langkah pemberhentian terkini itu menunjukkan bahawa pemberhentian kerja akan diteruskan pada 2024 kerana syarikat itu ingin menggunakan perisian AI dan automasi bagi meringankan beban kerja.

"Penyingkiran peranan ini bukan pada skala pengurangan tahun lalu, dan tidak akan menjejas setiap pasukan.

"Kami bercita-cita tinggi, dan akan melabur dalam keutamaan besar kami pada tahun ini," kata Pichai dalam memo tersebut, yang merujuk kepada syarikatnya memotong 12,000 pekerjaan pada 2023.

Syarikat teknologi itu pada 17 Januari memberitahu kakitangannya daripada operasi YouTube dan pasukan pengurusan pencipta bahawa jawatan mereka telah dihapuskan, menurut e-mel yang disemak oleh The New York Times.

YouTube, perkhidmatan video paling popular di dunia, mempunyai 7,173 kakitangan setakat 16 Januari, menurut seseorang yang mengetahui struktur syarikat itu.

"Kami telah membuat keputusan untuk menghapuskan beberapa peranan dan mengucapkan selamat tinggal kepada beberapa rakan sepasukan kami," kata ketua pegawai perniagaan YouTube, Mary Ellen Coe, dalam notanya kepada pekerja.

Beliau menambah bahawa sesiapa sahaja di AS dan rantau Asia Pasifik yang akan atau mungkin terjejas, akan dimaklumkan pada penghujung hari ini.

Pemberhentian itu terutamanya menjejas kumpulan pekerja yang menawarkan sokongan kepada jutaan pencipta kandungan YouTube, menurut dua sumber yang mengetahui mengenai pemberhentian itu.

YouTube bergelut untuk pulih sepenuhnya daripada kelembapan pengiklanan pada 2023 dan menghadapi persaingan kuat daripada TikTok, perkhidmatan video pendek yang popular dengan penggunaan yang lebih muda. - AGENSI

berita setiap hari? daftar di omiyou.com untuk update setiap hari.

Comments