Polis berjaya memberkas dua suspek lelaki warga asing dipercayai terlibat kes samun di sekitar bandaraya Kota Kinabalu

Comments · 992 Views

KOTA KINABALU: Polis berjaya memberkas dua suspek lelaki warga asing dipercayai terlibat kes samun di sekitar bandaraya Kota Kinabalu.

Kedua-dua suspek berumur 32 dan 45 tahun itu ditangkap dalam satu serbuan di sebuah rumah sewa di Kampung Air di sini pada jam 11.20 malam Ahad (7 Jan).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihak polis menerima satu laporan polis pada 9 Disember 2023, jam 2.01 petang yang dibuat oleh pengadu iaitu seorang ahli perniagaan berumur 48 tahun yang mengatakan telah disamun oleh seorang lelaki yang tidak dikenali bertempat di kawasan tangga bangunan kedai di bandaraya Kota Kinabalu.

Dalam kejadian tersebut, suspek telah mengambil telefon bimbit, dokumen pengenalan diri dan kad bank milik pengadu sebelum melarikan diri anggaran kerugian lebih kurang RM400.00. Kes seterusnya disiasat dibawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Siasatan awal mendapati semasa kejadian pengadu sedang memegang telefon bimbit miliknya dan secara tiba-tiba suspek telah merampas telefon bimbit pengadu serta mengambil dompet pengadu yang mengandungi dokumen penting milik pengadu.

Kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di premis berdekatan telah berjaya merakam kelibat suspek semasa kejadian, katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Mohd Zaidi, tertangkapnya kedua-dua suspek, siasatan lanjut dijalankan ke atas suspek utama dan dia telah mengaku terlibat dalam kes ini secara bersendirian manakala suspek kedua merupakan rakan suspek yang turut sama menghisap dadah.

Suspek mengaku barang kes iaitu satu telefon bimbit yang dicurinya semasa kejadian, telah dijual kepada seorang individu yang baru dikenalinya di sekitar bandar Kota Kinabalu.

Hasil barang-barang yang dicuri akan dijual kepada mana-mana individu dengan harga yang rendah bagi tujuan membeli dadah, katanya.

Mohd Zaidi berkata, modus operandi suspek adalah dengan menyamun mangsa yang sedang leka menggunakan telefon bimbit di kawasan yang sunyi sebelum melarikan diri.

Hasil semakan pada bulan Disember 2023, sebanyak tujuh kes samun telah dilaporkan di sekitar bandaraya Kota Kinabalu dan pihak polis percaya berkemungkinan suspek turut terlibat dalam kes tersebut.

Buat masa ini, pihak Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu masih menjalankan siasatan lanjut dan percaya lebih banyak kes yang akan berjaya diselesaikan berdasarkan pendedahan suspek, katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek adalah penganggur dan difahamkan sudah berada di Kota Kinabalu dalam 3-4 tahun. Dan keduanya positif dadah jenis syabu.

Hasil semakan mendapati, kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau melibatkan satu kes penyalahgunaan dadah.

Kita telah membuat permohonan reman terhadap kedua-dua suspek selama seminggu untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, tegasnya.

Sehubungan dengan itu, Mohd Zaidi turut memaklumkan pihak polis kini giat menjalankan Walkabout Bersepadu melibatkan pasukan dari IPD Kota Kinabalu dan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah di sekitar Jalan Gaya, Jalan Pantai, dan kampung-kampung sekitar untuk menangani kes-kes samun.

Katanya, terdapat dua jenis walkabout ataupun tinjuan yang dijalankan iaitu walkabout harian terdiri tiga shift (pagi, petang, malam) yang dikendalikan IPD KK meliputi empat zon di bandar iaitu, Waterfront ke Suria Sabah, Centre Point ke Imago, Anjung Senja ke Api-Api, Sinsuran ke Segama, Wisma Merdeka dan Bandaran Berjaya.

Manakala pada hujung minggu pula (Sabtu, Ahad), kita buat operasi bersepadu dengan 150 pegawai termasuk IPD KK dan IPK untuk walkabout di keempat-empat zon tersebut, jelas beliau.

Menurutnya lagi, beliau yakin dengan kehadiran pihak PDRM yang meliputi semua kawasan tumpuan dan berpotensi untuk kejadian jenayah di bandar ini, akan merintis rasa selamat pada penduduk dan juga pelancong yang berkunjung.

Insiatif ini, pihak polis jamin dapat meningkatkan tahap keselamatan terutamanya pelancong-pelancong asing yang sekarang ini membanjiri bandaraya ini.

Ini adalah satu pendekatan agresif yang diperkenalkan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun pada dua bulan lepas. Sekarang kita tingkatkan, konsep walkabout harian ataupun mingguan atau bersepadu.

Bila ada walkabout, kita dapat lihat kes jenayah termasuk kes pecah tingkap kereta menurun secara mendadak di sekitar bandaraya Kota Kinabalu, ujarnya.

Comments