leher remaja perempuan dikelar oleh warga asing tanpa dokumen di penampang

Comments ยท 1314 Views

PENAMPANG: Tuntutan baki hutang kerja baiki paip rumah dipercayai punca seorang remaja perempuan warga asing dikelar di leher dalam kejadian di Kampung Tuntuluk, Nosoob, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, berkata siasatan awal mendapati suspek iaitu lelaki warga asing berusia 29 tahun datang ke rumah itu untuk berjumpa kakak ipar mangsa bagi menuntut baki hutang berkenaan.

Ketika kejadian mangsa berada di rumah kerana membantu menjaga anak saudaranya semasa kakak iparnya keluar bekerja.

"Ketika kejadian, mangsa sedang memegang sebilah pisau kerana menyiapkan masakan di dapur... suspek mendakwa mangsa mengeluarkan kata-kata kasar sehingga menyebabkan dia marah.

"Suspek kemudian merampas pisau daripada tangan mangsa sebelum mengelar leher remaja itu dan menolaknya ke dinding tandas sehingga cedera pada kepala dan leher," katanya melalui kenyataan malam ini.

Sammy berkata, selepas kejadian itu suspek melarikan diri sebelum ditahan polis kira-kira jam 5.50 petang di kawasan semak tepi Jalan Pekan Kinarut Lama, Papar.

"Semakan mendapati suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.

Menurut Sammy, mangsa kini stabil dan menerima rawatan lanjut di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) Kota Kinabalu.

Comments