Seorang Pegawai ladang didenda RM48,000 miliki haiwan dilindungi

Commenti · 436 Visualizzazioni

SANDAKAN: Seorang pegawai ladang didenda RM48,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki beberapa haiwan dilindungi tanpa kebenaran sah.

Tertuduh, Hendry Rayner Endim, 38, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslinda Razali.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didapati memiliki tiga bangkai ular sawa pendek (blood python), seekor ular sawa panjang (reticulated python), seekor bangkai musang (malay civet) serta dua bangkai musang (common palm civet).

Semua haiwan berkenaan merupakan spesies yang dilindungi di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 2.10 petang pada 24 Mei 2025 di jalan utama Paitan-Kanibongan tanpa sebarang kebenaran sah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(2) enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda antara RM30,000 hingga RM100,000 atau penjara minimum enam bulan hingga maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM48,000 terhadap tertuduh atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Jabatan Hidupan Liar, Primus Lambut, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Commenti