Lelaki disyaki samun RM458,000 ditahan, tiga lagi suspek diburu

Kommentare · 452 Ansichten

BELURAN: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjatakan pisau yang mengakibatkan kerugian hampir RM500,000 di sebuah kediaman di Taman Telupid Vila, Telupid, Isnin lalu

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, suspek yang memakai topi dan pelitup muka dipercayai menceroboh masuk ke rumah mangsa melalui pintu belakang sebelum mengacukan pisau.

Suspek kemudian bertindak menutup mulut mangsa dan memaksa mangsa menyerahkan barang kemas serta wang tunai dianggarkan bernilai RM458,000.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid, berkata pihaknya menjalankan risikan sejurus menerima laporan daripada mangsa.

“Hasil tindakan itu, seorang lelaki berusia 49 tahun berjaya ditahan kira-kira jam 4.30 petang pada hari sama di Kampung Air.

“Polis turut merampas semula sebahagian barang kemas yang dilaporkan hilang serta sejumlah wang tunai,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut, manakala usaha mengesan tiga lagi rakan suspek sedang giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan meningkatkan tahap keselamatan kediaman masing-masing bagi mengelakkan kejadian jenayah.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Asisten Superintendan Azhani Amat Khairi di talian 019-8132244 atau Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Sandra Tening Edward di talian 011-19350296.

Terdahulu, kejadian samun itu tular di media sosial selepas orang awam berkongsi gambar seorang lelaki yang didakwa terbabit dalam insiden berkenaan.

Kommentare