Hidung berdarah tiba-tiba dan ini cara cegahnya

Comments · 316 Views

Pernahkah anda mengalami pendarahan hidung secara tiba-tiba? Bagi kanak-kanak masalah itu bukan sesuatu yang asing, namun pendarahan tanpa henti pada hidung mengundang panik dalam kalangan orang dewasa.

Sebenarnya hidung berdarah atau istilah perubatannya, epistaksis berlaku apabila salur darah kecil (kapilari) di rongga hidung pecah disebabkan beberapa punca seperti kecederaan, udara terlampau sejuk atau kering, menghembus hidung dengan kuat, terlalu kerap bersin, jangkitan sinus dan kesan sampingan penyakit serius seperti ketumbuhan dalam rongga hidung selain dalam kes jarang berlaku seperti tekanan darah tinggi.

Epistaksis boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu pendarahan di bahagian hadapan dan pendarahan di bahagian belakang. Lebih 90 peratus pendarahan hidung berlaku pada bahagian hadapan dan selalunya membabitkan sebelah bahagian hidung saja selain mudah diberhentikan.

Manakala 10 peratus pula berlaku pada belakang hidung dan pendarahan berlaku lebih banyak dan berbahaya. Untuk kes pendarahan teruk, ia boleh menyebabkan saluran pernafasan tersumbat dan pesakit berisiko tersedut darah ke dalam paru-paru dan sukar dikawal.

Ada panduan khusus untuk rawatan segera bagi masalah hidung berdarah boleh diikuti pesakit antaranya:

• Duduk dan tunduk ke hadapan.

• Bernafas melalui mulut dan picit hidung di bahagian yang keras selama 10 minit.

• Terus picit hidung dan letakkan pek ais di bahagian hidung antara mata.

• Selepas 10 minit, berhenti picit hidung dan periksa sama ada darah sudah berhenti.

• Elak daripada bersin, menghembus atau mengorek hidung.

• Elak atau kurangkan makanan pedas kerana ia boleh menyebabkan keradangan pada lapisan hidung.

• Pergi ke klinik atau hospital yang berdekatan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.

semoga bermanfaat jangan lupa share kepada rakan-rakan dan keluarga anda.

Comments